06 October 2010

KEMBARA ILMU BRUNEI DARUSSALAM: 22-24 September 2010 / 13-15 Syawal 1431H

Alhamdulillah demi menyempurnakan amanah kerja, saya pertama kalinya menjejakkan kaki ke Negara Brunei Darussalam. Perjalanan menggunakan penerbangan Air Asia dari LCCT KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mengambil masa lebih kurang 2 jam 20 minit.

WAKTU
Secara umumnya waktu di Brunei sama dengan Malaysia Cuma waktu solatnya lebih awal lebih kurang sejam berbanding dengan Semenanjung. Jika dibuat perbandingan sama seperti waktu antara Semenanjung dengan Sabah. Jika Semenanjung waktu Maghribnya 7.15 malam maka di Brunei jam 6.15 malam sudah masuk waktu Maghrib.

PENDUDUK
Lebih kurang dua pertiga penduduk Brunei adalah berbangsa Melayu. Terdapat pelbagai kaum lain juga yang mendiami negara Brunei. Bahasa kebangsaan/rasmi ialah bahasa Melayu. Menarik juga kerana bahasa Jawi ditonjolkan pada setiap papan tanda umum, perniagaan dan iklan.

EMAS HITAM
Kekuatan ekonomi negara Brunei bertumpu pada penghasilan minyak yang membentuk lebih dari separuh dari KDNKnya. Pengeluaran minyak diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP). Penduduk Brunei bertuah kerana petrol hanya dijual dengan harga lebih kurang 50 sen seliter dan diesel pula lebih kurang 30 sen seliter.

JALAN RAYA
Jalan raya Brunei dipenuhi dengan kenderaan berjenama mungkin kerana kemewahan hidup rakyatnya ditambah pula dengan dasar kerajaan yang tidak mengenakan cukai ke atas kenderaan dan pada masa yang sama harga bahan api yang rendah turut mempengaruhi keadaan tersebut. Motorsikal pula sangat jarang kelihatan di jalan raya. Keadaan jalan sangat tenang dan tidak ada kesesakan serta sukar untuk mendengar bunyi hon. Semua kenderaan akan segera berhenti jika melihat anda bersedia untuk melintas di zebra crossing.

RIZQUN HOTEL
Peluang menginap di Rizqun International Hotel yang berkembar dengan The Mall di bandar Gadong digunakan sepenuhnya untuk membuat pemerhatian keaadaan di Brunei. Gadong merupakan salah sebuah bandar utama selain ibu negara iaitu Bandar Seri Begawan yang jaraknya lebih kurang 10-15 minit menaiki kenderaan.

PASAR MALAM GADONG
Kehidupan malam di Brunei boleh ditinjau di Pasar Malam Gadong yang terletak berhampiran dengan bandar Gadong. Pada waktu siang tapak pasar malam ini merupakan tempat letak kenderaan. Bermula lebih kurang pada jam 6.00 petang pada setiap hari tempak letak kenderaan ini bertukar sebagai pasar malam dan beroperasi sehingga jam 11.30 malam atau sehingga jam 12.00 malam.

MASJID OMAR ALI SAIFUDDIN
Ibu negara Brunei iaitu Bandar Seri Begawan terletak di pinggir sungai. Mercu tandanya yang utama ialah Masjid Omar Ali Saifuddin yang tersergam indah dengan kubah emasnya. Bangunan lain di bandar ini dilarang dibina melebihi ketinggian masjid ini.

TAMU SUNGAI KIANGGEH
Pinggiran bandar ini terdapat sebuah tamu atau pasar pagi yang menjual pelbagai barang keperluan harian iaitu Pasar Pagi Sungai Kianggeh. Pelanggan dari bandar perlu menyeberangi sebuah jambatan kecil untuk sampai ke pasar ini, manakala sebahagian pelanggan yang lain kelihatan lebih selesa menggunakan bot. KAMPUNG AIR
Kampung Air pula terletak di seberang sungai. Jika menggunakan bot tambang perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke Kampung Air hanya mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja. Sebaliknya jika menggunakan kenderaan melalui jalan darat perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 30 hingg 45 minit.

Kampung Air dilengkapi dengan segala kemudahan asas termasuklah bekalan air dan elektrik, sekolah, masjid, balai polis, balai bomba dan stesen minyak. Setiap rumah dihubungkan oleh jambatan dan pengangkutan utama ialah menggunakan bot. Selain rumah yang dibina secara tradisi terdapat sebuah kawasan perumahan moden yang terletak di hujung sungai. Perumahan ini telah dibina oleh kerajaan bagi menggantikan kawasan perumahan yang telah mengalami kebakaran.

B$
Brunei menggunakan matawang Dolar Brunei atau nama rasminya Ringgit dan turut menerima Dolar Singapura sebagai medium traksaksi kewangan. Matawang boleh dipecahkan kepada 100 sen. Sama seperti Ringgit Malaysia, Dolar Brunei mempunyai duit kertas bernilai 1 Ringgit, 5 Ringgit, 10 Ringgit, 50 Ringgit dan 100 Ringgit.

Harga barang di Brunei jika dilihat menggunakan Ringgit Brunei lebih kurang sama dengan harga barang di Malaysia. Nasi ayam halia contohnya berharga B$4.50 dan milo ais berharga B$1.50 sahaja. Namun jika dilihat dalam nilaian Ringgit Malaysia secara relatif harga barang lebih mahal kerana B$1 lebih kurang bersamaan dengan RM 2.40.

BERITA
Walaupun berada di Brunei, anda masih boleh mengikuti perkembangan semasa di Malaysia menerusi siaran RTM1 & RTM2. Surat khabar utama seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia juga boleh didapati dengan mudah di kebanyakan kedai.



11 August 2010

KURSUS TAHUNAN RAMADHAN

Marhaban Ya Ramadhan!!!
Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia untuk bersua lagi dengan Ramadhan pada tahun ini. Adakah datangnya Ramadhan dan berlalunya nanti Ramadhan pada tahun ini sama dengan tahun-tahun yang lepas? Inilah antara persoalan yang sering timbul atau dijadikan sebagai topik perbincangan.

Kursus Oh Kursus
Kelaziman bagi setiap organisasi khususnya bahagian sumber manusia akan mengatur pelbagai program atau aktiviti yang biasanya disebut kursus dalam kalendar tahunannya. Kursus ini digubal berdasarkan hasil penilaian pada analisis keperluan latihan (training needs analysis) yang telah dibuat.

Kepelbagai Kursus
Kursus yang diatur mempunyai pelbagai bentuk pendekatan, ada bersifat pergerakan secara pasif(indoor) dan tidak kurang juga yang bersifat pergerakan secara aktif(outdoor). Tempoh masa yang diambil juga berbeza-beza mengikut kesesuaian dan matlamat kursus.

Pekerja Oh Pekerja
Penerimaan pekerja pada kursus yang dianjurkan oleh organisasi juga adalah berbeza-beza mengikut individu. Secara umumnya pekerja boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut:

Pekerja A:
Memenuhi semua kursus yang diwajibkan dan mewajibkan diri menghadiri kursus yang dibuka kepada umum. Malahan berusaha mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghadiri kursus di luar daripada organisasi.

Pekerja B:
Memenuhi semua kursus yang diwajibkan dan cenderung untuk hadir kursus yang dibuka kepada umum bergantung pada kesesuaian masa dan perasaan hati (mood).

Pekerja C:
Menghadiri kursus setakat memenuhi rukun kehadiran semata-mata supaya terlepas dari sebarang hukuman dan layak mendapat insentif yang ditawarkan oleh organisasi..

Pekerja D:
Mencari pelbagai alasan yang logik untuk mengelakkan diri menghadiri kursus. Sanggup menerima risiko dikenakan pelbagai tindakan disiplin dan terlepas insentif yang ditawarkan oleh organisasi.

Pekerja E:
Menentang penganjuran kursus kerana berpendapat akan mengurangkan produktiviti dan meningkatkan perbelanjaan organisasi.
Fenomena ini tidak asing bagi mana-mana organisasi. Apa yang lebih penting ialah di mana status kita?

Harapan Organisasi
Penganjuran kursus yang melibatkan implikasi pada bajet tahunan organisasi pastinya mempunyai matlamat dan harapan yang tinggi. Kita pastinya sering bertanya apakah pulangan pelaburan ROI (Return of Investment) sama ada dalam bentuk jangka pendek atau jangka panjang, setelah membuat pelaburan dalam aktiviti perniagaan. Maka pihak organisasi pula akan bertanya apakah pulangan pelaburan latihan ROTI (Return of Training Investment) yang telah dilaksanakan.

Syarikat perniagaan yang menawarkan ROI terbaik akan menjadi pilihan utama para pelabur untuk terlibat dalam organisasi tersebut. Begitu juga dengan syarikat perunding latihan, ROTI akan menjadi salah satu kriteria utama kredibiliti mereka. Justeru, syarikat perunding latihan yang baik perlu menawarkan kaedah penilaian yang sistematik untuk membolehkan organisasi menilai ROTI mereka.

ROTI Siapa?
ROTI boleh dinilai dalam pelbagai aspek. Begitu juga dengan faedah dan manfaatnya boleh dilihat dari perspektif berikut:
ROTI Pekerja; semakin mahir dan meningkatkan prestasi dan daya produktiviti.
ROTI Syarikat; semakin maju dan hasil meningkat
ROTI Individu; semakin meningkat potensi diri tetapi tidak menyumbang pada rakan sekerja atau syarikat.

Siapa Penentu Pemilik ROTI?
Kita sendiri yang menentukan siapa pemilik ROTI itu. Taklifan kita ialah memastikan ROTI itu milik kita dengan usaha sedaya mungkin. Namun tidak sekali-kali mencemarkan peluang orang lain untuk mendapat ROTI yang sama malahan yang lebih baik daripada kita sendiri.

Siapa Paling Kenyang?
Segala usaha yang kita lakukan pada hakikatnya adalah untuk diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain. Paling penting, kita hanya dipertanggungjawabkan ke atas diri kita sendiri sahaja.

Alasan Oh Alasan
Hati yang telah diselaputi dengan pelbagai karat kehidupan mungkin menghamburkan kata-kata berikut:
“Tahun depan je la...”
“Banyak sangat masalah dan halangan”
“Suasana dan persekitaran kurang kondusif”
“Lepas puasa nanti balik asal jugak, macam hipokrit la pulak”
“Dah cuba tapi tak berjaya la”
Ingatlah bahawa musuh kita yang paling nyata iaitu syaitan telah dibelenggu pada bulan Ramadhan. Justeru, kita pada hakikatnya bergelut dengan diri sendiri di dalam pelbagai perangkap yang telah membekukan minda.

Bangkitlah Wahai Diriku!
Ayuhlah tanam niat dan keazaman yang tinggi untuk menjadikan Ramadhan pada kali ini antara yang terbaik di kalangan yang terbaik. Susuli niat dan keazaman tersebut dengan perancangan yang teliti dan sistematik supaya segalanya menjadi realiti.


03 August 2010

KEMBARA KEDUA KAMPUCHEA 16-18 JULAI 2010: PENYEMPURNAAN MISI

Alhamdulillah kunjungan kedua ke Kampuchea telah dipermudahkan oleh Allah dan segala perancangan telah diuruskan dengan jayanya. Coretan pada kali ini bertujuan berkongsi sedikit pengalaman yang boleh dijadikan iktibar untuk semua.

Lawatan Ke Kampung Chroy Changwa Krao

Kami berkesempatan singgah di dua buah perkampungan yang didiami oleh umat Islam iaitu golongan minoriti di Kampuchea. Perkampungan yang terletak di pinggir bandar Phnom Penh dijadikan pilihan kerana faktor kekangan masa yang dihadapi. Destinasi yang kami tuju ialah masjid yang menjadi pusat kegiatan utama masyarakat Islam.

Masjid Pertama

Saiz masjid ini sederhana sahaja dan mengalami beberapa kerosakan mungkin disebabkan oleh faktor masa dan kurang penyelenggaraan dan perlu diperbaiki. Salah satu pintu utama masjid terpaksa ditutup kerana berisiko membahayakan pengguna kerana bahagian atasnya telah mengalami keretakan yang serius.

Masjid Kedua

Masjid ini dalam proses pembinaan untuk tujuan pembesaran. Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan di atas tapak asal masjid. Hanya sedikit ruangan ditinggalkan untuk dijadikan sebagai ruangan solat sementara. Namun kerja-kerja pembinaan menjadi semakin perlahan kerana mereka menghadapi masalah kewangan.



Sekolah Agama Rakyat


Bersebelahan masjid yang kedua itu terletak sekolah agama rakyat iaitu sebuah bangunan yang dibahagikan kepada dua buah kelas. Keadaan serba kekurangan tidak menghalang anak-anak generasi baru untuk menimba ilmu agama sebagai pelengkap pada ilmu yang telah dipelajari di sekolah kebangsaan.
Bantuan Segera

Pada pengamatan saya selain infrastruktur, masjid juga memerlukan sumbangan dalam bentuk Al-Qur’an, buku-buku agama dan ilmiah, telekung sembahyang dan peralatan pembesar suara.

Survival Islam

Salah seorang tokoh Islam yang pernah hidup di zaman regim Pol Pot sempat berkongsi pengalaman yang sangat berharga. Pengalaman itu saya cuba terjemahkan dalam bentuk penulisan walaupun sebenarnya tidak mampu digambarkan secara sepenuhnya.

Solat Sebagai Bukti Ikatan Aqidah

Pihak regim telah mengharamkan sebarang amalan keagamaan. Demi memelihara aqidah dan mempertahankan keimanan, orang Islam terpaksa melakukan solat secara rahsia. Situasi menjadi semakin sukar kerana pihak regim mengetahui secara mendalam amalan ibadah orang Islam termasuk cara mengangkat hadas kecil dengan bertayamum. Justeru, orang Islam terpaksa melakukan tayamum dengan keadaan berpura-pura sedang bekerja supaya tidak disedari oleh askar regim yang berkawal. Askar regim juga cepat sensitif jika melihat orang Islam berada dalam keadaan berdiam diri seolah-olah sedang bersolat dan mereka akan segera melaung bertanya “Buat apa tu?” Maka orang Islam terpaksa menjawab “Tidak buat apa-apa, hanya termenung sahaja”.

Berhelah Menjaga Aqidah

Askar regim juga sentiasa mencuba untuk menduga pegangan agama orang Islam dengan soalan “Kamu masih percaya Allah ke?” Maka untuk menjaga aqidah, orang Islam terpaksa berhelah dengan menjawab “Kamu lihat aku macam mana? Kamu lihat aku masih buat ibadah ke? Aku macam yang kamu lihatlah”.

Walaupun cuba bercerita dalam keadaan santai, namun kehibaan tidak dapat disembunyikan. Air mata jelas kelihatan bertakung di hujung mata mengenangkan kisah silam yang begitu menyayat perasaan.

Peluang Terlibat Dalam Aktiviti Ekonomi

Setelah selesai perjumpaan dan mesyuarat yang telah diatur pada hari pertama, kami mengambil kesempatan untuk singgah ke Pasar Toul Thom Phong untuk mendapatkan cenderahati sebagai buah tangan pulang ke Malaysia.

Sepanjang pemerhatian saya, tidak ada seorang pun peniaga yang beragama Islam yang menjalankan perniagaan di pasar ini. Juga hampir tidak kelihatan wanita yang bertudung iaitu salah satu imej yang paling mudah untuk mengenali saudara Muslim. Satu persoalan berlegar di fikiran saya, mungkinkah mereka tidak menonjolkan identiti sebenar sebagai seorang Muslim dengan pelbagai sebab dan faktor? Atau sememangnya orang Islam tidak mempunyai peluang untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi?

Pelan Pembangunan Ekonomi

Alhamdulillah akhirnya sebuah pelan pembangunan ekonomi telah digubal berkat usaha gigih dan keikhlasan semua pihak. Pelan tersebut secara asasnya menyentuh aspek-aspek berikut.

  1. Memahami realiti semasa.
  2. Membuat semakan dan penilaian.
  3. Mengenalpasti pilihan model yang sesuai.
  4. Memilih pendekatan yang paling strategik.
  5. Menentukan pemain utama.
  6. Menyusun sistem yang akan menggerakkan pelan.
  7. Merangka tindakan secara berfasa.

Semoga usaha ini menyemarakkan lagi pembangunan ekonomi khususnya umat Islam di Kampuchea dan umumnya umat Islam sedunia.

www.izhanhamidi.blogspot.com

01 July 2010

KEMBARA KE PHNOM PENH, KAMPUCHEA: 14-18 JUN 2010 (Siri 2)



TOUL SLENG GENOCIDE MUZIUM
Alhamdulillah kami berkesempatan mengunjungi sebuah bekas sekolah yang telah dijadikan sebagai pusat tahanan oleh rejim Pol Pot pada tahun 1975 hingga 1979. Semasa kejatuhannya, pihak rejim tidak sempat mengeluarkan barang-barang di pusat tahanan ini. Maka kesemua bahan yang dipamerkan adalah barang-barang yang asal. Beberapa iktibar yang dapat saya kutip adalah seperti berikut:

Dasar Kesamarataan
Pihak rejim telah memperkenalkan dasar kesamarataan kepada semua penduduk. Pendekatan yang dekat dengan fitrah manusia iaitu suka pada nilai keadilan dan pada masa yang sama membenci penindasan, telah mendapat sambutan walaupun diaplikasi dengan penafsiran rejim sendiri. Survival Kuasa
Demi meneruskan survival kuasa, manusia akan sanggup untuk melakukan tindakan yang melampaui tahap peri kemanusiaan. Ngeri dan pilu untuk digambarkan cara-cara penyeksaan yang dilakukan ke atas tahanan rejim. Diceritakan bahawa lebih kurang empat juta orang menjadi korban semasa rejim menguasai Kampuchea.

Rejim juga berusaha menghapuskan sebarang punca yang boleh mengancam kuasanya. Justeru, golongan pakar dan profesional yang berkhidmat di luar negara telah dipanggil balik dengan alasan kononnya untuk membantu kerajaan membangunkan Kampuchea yang telah kembali aman. Sebaik tiba di lapangan terbang mereka telah ditahan dan dipenjarakan.

Penjara Minda
Penjara tanpa tembok pada hakikatnya lebih mendalam kesannya ke atas penduduk. Penduduk diarahkan meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke daerah lain dengan pengasingan antara yang mahir mengerjakan sawah dan kerja-kerja buruh. Maka bermulalah era perhambaan manusia.

Penduduk juga dikahwinkan secara paksa secara beramai-ramai. Mereka dikumpulkan 100 orang lelaki dan 100 orang wanita. Lelaki pertama akan mengahwini wanita pertama dan begitulah seterusnya sehingga akhir tanpa boleh membuat sebarang pilihan.

Diceritakan bahawa proses pembunuhan hanya dilakukan oleh dua orang askar yang masih muda belia. Seorang memegang senjata api berada di belakang barisan dan seorang lagi memegang kayu pemukul berada di hadapan barisan. Mangsa seramai 100 orang beratur ke arah satu lubang besar yang telah digali untuk menerima nasib mereka.

Dalam satu kejadian, diceritakan ada seorang tua yang sedang beratur dalam barisan telah terjatuh kerana kepenatan dan tali yang mengikat pergelangan tangannya telah terputus. Maka dengan segala susah payah orang tua tersebut segera bangun dan mengikat kembali tali ke pergelangan tangannya. Cengkaman kekejaman yang membelenggu telah memadamkan dari kamus fikiran mereka sebarang usaha untuk cuba lari atau berpakat melawan hanya dua orang askar rejim.

Doktrin Generasi Muda
Pihak rejim telah memilih generasi muda untuk melaksanakan agenda mereka. Foto askar-askar rejim yang menjadi sebahagian tatapan di muzium mempamerkan wajah-wajah berumur belasan tahun dan awal 20an. Askar yang berasal dari kampung akan ditugaskan di bandar dan sebaliknya askar yang berasal dari bandar ditugaskan ke kampung. Tujuannya supaya tidak timbul perasaan belas kasihan untuk mengambil tindakan terhadap penduduk yang mungkin mereka kenali.


Peraturan Memerangkap Kesalahan
Tahanan diwajibkan mematuhi pelbagai peraturan yang sebahagiannya tidak masuk akal. Pelanggaran pada peraturan yang telah ditetapkan dijadikan sebagai alasan untuk dikenakan hukuman.


Sistem Dokumentasi & Pengkelasan
Pusat tahanan ini diuruskan secara sistematik dan teratur. Setiap mangsa direkodkan menerusi gambar/foto dan mereka diberikan nombor giliran iaitu nombor giliran untuk menerima nasib mereka.

Bilik darjah di empat bangunan sekolah telah ditukar menjadi penjara. Pertamanya penjara istimewa yang dilengkapi dengan katil, selimut, bantal, tikar dan bekas bahan kumuhan, dikhususkan untuk tahanan yang dituduh menjadi dalang melawan rejim. Keduanya penjara khas iaitu bilik darjah yang dibina sel-sel kecil hanya muat untuk seorang tahanan. Ketiga ialah penjara umum iaitu untuk mengurung tahanan secara beramai-ramai.

Penderitaan Hidup
Material yang paling bernilai adalah beras dan air. Kemuncak pada penderitaan yang dihadapi oleh penduduk ialah mereka sanggup untuk menukarkan sekilogram beras dengan sekilogram emas demi untuk meneruskan kehidupan..

Amalan agama atau ibadah juga menjadi sebahagian dari larangan. Komitmen dan istiqamah pada pegangan agama memungkinkan sebahagian daripada hamba-hamba Allah itu melaksanakan kewajipan solat di dalam air demi untuk menjaga keselamatan.

Penutup
Kita bersyukur kerana dilindungi oleh Allah SWT dari ujian sedemikian rupa. Namun menjadi kewajipan untuk benar-benar bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat kurniaanNYA.


izhanhamidi.blogspot.com

29 June 2010

KEMBARA KE PHNOM PENH, KAMPUCHEA: 14-18 JUN 2010 (Siri 1)

Catatan ini bertujuan untuk berkongsi sedikit pengalaman berkelana ke Phnom Penh, Kampuchea untuk menyempurnakan tugasan dan amanah kerja. Alhamdulillah musafir ini menzahirkan beberapa noktah penting yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan. Terima kasih AASB atas kepercayaan yang diberikan.

BENGKEL:
Bahasa Komunikasi
Kegusaran awal cabaran bahasa yang bakal dihadapi untuk berinteraksi dalam bengkel yang diadakan terjawab setelah berlalunya bengkel hari pertama. Bahasa yang digunakan oleh saudara seIslam kita di Kampuchea ialah bahasa Khmer sebagai bahasa utama, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai bahasa pilihan. Sekurangnya-kurangnya mereka menguasai dua bahasa dan majoriti peserta bengkel menguasai tiga bahasa.

Sifat yang boleh dipuji ialah berani mencuba dan tidak malu bertanya serta saling memperbetulkan kelemahan bahasa rakan-rakan yang lain. Mengkagumkan apabila pembentangan berjaya disampaikan dalam bahasa Melayu dan hasil perbincangan dicatatkan pada kertas mahjong dalam bahasa Melayu.

Penggunaan banyak bahasa saya perhatikan sedikit sebanyak mengasah kemahiran mereka dalam menumpukan perhatian, mendengar, memahami, menginterpretasi dan seterusnya menyuarakan dalam bentuk terjemahan bagi mengukuhkan kefahaman dalam bengkel dan sesi perbincangan yang dijalankan.



Bahasa Sebagai Alat Berfikir
Kebanyakan peserta lebih selesa mengadakan perbincangan dalam bahasa Khmer iaitu bahasa ibunda mereka. Hakikat bahawa bahasa ibunda sebagai alat berfikir terserlah dalam situasi ini, kecuali bagi orang yang benar-benar dapat menguasai bahasa selain bahasa ibunda. Mungkin juga perbincangan akan lebih bersifat waqie’(semasa) dengan menggunakan istilah dan perkataan yang bersifat tempatan.

SUASANA KEHIDUPAN DI PHNOM PENH:
Waktu Kerja
Waktu di Kampuchea lewat sejam berbanding Malaysia. Justeru waktu solat Subuh lebih kurang jam lima pagi, Zohor jam 12.15 tengah hari, Asar 3.30 petang dan Maghrib jam 6.15 petang. Operasi kerja bermula sekitar jam 7.30 pagi atau 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang atau 5.30 petang. Mereka memperuntukkan masa untuk berehat pada waktu tengah hari sekitar jam 11.30 pagi atau 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang atau 2.30 petang. Uniknya kerana kebanyakan pekerja akan balik ke rumah pada waktu rehat ini untuk makan tengah hari bersama keluarga.

Waktu Makan
Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam adalah tiga waktu makan yang utama. Kebanyakan mereka makan malam awal iaitu sebelum masuknya waktu Magrib. Aktiviti pada sebelah malam akan berakhir sekitar jam 10 malam. Kebanyakan penduduk memilih untuk berehat di rumah, aktiviti perniagaan ditutup dan kawasan bandar atau kampung mula lengang.

Tasik Tonle Sap & Sungai Mekong
Air sungai yang mengalir tenang dari Sungai Mekong ke arah Tasik Tonle Sap menjadi salah satu tarikan istimewa bandar Phnom Penh. Membuka peluang untuk menyaksikan bandar ini dari sudut yang berbeza. Bot pelbagai dekorasi dan saiz sentiasa menanti penumpang untuk disewa dengan kadar USD15 untuk 30 minit pelayaran.

Bot-bot ini adalah sebahagian daripada pengguna setia sungai selain bot nelayan, bot pengangkutan/ekspres dan tongkang mengangkut barang. Kesemuanya berperanan untuk menjana pendapatan dan menggerakkan ekonomi. Sebahagian daripada pemilik menjadikan bot mereka sebagai rumah tempat tinggal. Demi memastikan bot yang menjadi nadi mereka untuk mencari punca rezeki selamat dari sebarang gangguan.

Central Market, Pasar Tuol Thom Pong & Russian Market
Dalam keterbatasan masa berbengkel, kami sempat singgah ke beberapa buah pasar di sekitar bandar Phnom Penh. Pada pemerhatian saya, perniagaan di pasar ini mensasarkan pengunjung luar atau pelancong sebagai pelanggan. Buktinya transaksi dan label harga menggunakan USD. Kebanyakan peniaga pula berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dan sebahagiannya akan mengusik pengunjung dari Malaysia dengan bahasa Melayu.


PENGANGKUTAN:
Jalan Raya

Sepanjang berada di bandar Phnom Penh saya perhatikan keadaan jalan raya sentiasa sesak terutama pada waktu puncak iaitu pada waktu awal pagi dan lewat petang. Kenderaan berenjin kapasiti tinggi dan motorsikal memenuhi jalan raya dan jarang sekali kenderaan biasa kelihatan di jalan raya. Namun semua kenderaan bergerak tidak terlalu laju dan seolah-olah wujud satu perjanjian tidak rasmi iaitu saling memberikan laluan. Justeru, risiko untuk berlakunya kemalangan sangat minimum.

Tuk-Tuk
Penduduk di Phnom Penh lebih selesa menggunakan perkhidmatan Tuk-Tuk sebagai pengangkutan jarak dekat atau dalam bandar kerana mudah dan tambangnya berpatutan. Terdapat pelbagai saiz Tuk-Tuk dengan kapasiti penumpang yang berbeza-beza. Keadaan muka bumi yang kurang berbukit memberikan kelebihan pada perkhidmatan Tuk-Tuk. Namun, motorsikal Tuk-Tuk telah diubah suai dengan tambahan tangki air untuk menyejukkan enjin

Van Sewa & Bas
Perkhidmatan van sewa masih menjadi pilihan untuk pengangkutan jarak sederhana atau jauh walaupun telah ada perkhidmatan bas. Ini kerana tambang bas tidak tetap dan sentiasa berubah mengikut musim. Contohnya semasa permintaan tinggi untuk bas seperti pada musim perayaan atau cuti umum, tambangnya akan meningkat. Tambang untuk balik ke kampung mungkin tidak sama dengan tambang untuk datang ke bandar.

REJIM POL POT: TOUL SLENG GENOCIDE MUZIUM
Alhamdulillah kami berkesempatan mengunjungi sebuah bekas sekolah yang telah dijadikan sebagai pusat tahanan oleh rejim Pol Pot pada tahun 1975 hingga 1979. Semasa kejatuhannya, pihak rejim tidak sempat mengeluarkan barang-barang di pusat tahanan ini. Maka kesemua bahan yang dipamerkan adalah barang-barang yang asal. InsyaAllah perkongsian topik ini akan saya lebarkan dalam entri seterusnya.


APRESIASI & PENGHARGAAN:
Sekalung apresiasi kepada semua pihak yang telah banyak membantu dalam melancarkan segala perancangan yang telah direncanakan, khususnya buat YB Othsman Hassan, YB Manan Othsman, YB Dr. Muhsin Yusuf, En Asyary Aiyob, Peserta-peserta bengkel dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.


05 June 2010

NOKTAH-NOKTAH UTAMA KEMBARA 3 PURNAMA

Menggilap Potensi
Terbukti bahawa setiap insan dikurniakan dengan potensi diri masing-masing. Kunci pada kemampuan untuk menggilap potensi tersebut adalah kegigihan berusaha. Peredaran masa menampilkan kepada kita bagaimana insan yang serba kekurangan dan tidak dipandang, kini adalah sebahagian daripada golongan jutawan dan menjadi sanjungan.

Aku Orang Harapan
Setiap ahli pasukan perlu meletakkan dirinya sebagai orang harapan, bukannya sentiasa mengharapkan orang lain dalam penyempurnaan tugasan pasukan. Awalnya mungkin terasa seperti bebanan, tetapi percayalah bahawa setiap peluh yang menitik kerana usaha ikhlas yang berlebihan akan diberi ganjaran olehNya.


Nutrisi Seimbang
Manusia hanya mampu berfikir dan merancang serta berusaha menjadikannya sebagai realiti. Keghairahan bekerja sedikit sebanyak melekakan kesihatan kita dari aspek pengambilan nutrisi secara seimbang. Akibatnya simptom-simptom tubuh yang hilang keseimbangan mula tampil, sekaligus merencatkan sedikit ketangkasan gerak kerja.

Situasi Luar Jangka
Persediaan untuk menghadapi situasi luar jangka adalah bersifat teori. Situasi sebenar akan menguji sejauh manakah kematangan seseorang untuk bertindak secara cepat dan tepat. Sebarang kesilapan atau kelambatan bertindak akan meningkatkan risiko yang terpaksa dihadapi. Konfrantasi adalah pilihan terakhir sekiranya semua jalan keluar sudah tipis peluangnya.

Komunikasi Kumpulan
Pembahagian kumpulan kepada regu-regu dan kawasan jagaan memerlukan pada satu sistem komunikasi yang berkesan. Sistem pesanan ringkas (sms) dijadikan pilihan terbaik dengan menjadikan taklimat pagi sebagai panduan merangka strategi untuk menyempurnakan sasaran kerja yang ditetapkan. Penyelarasan bahasa dan istilah serta ketepatan pesanan merupakan faktor utama yang menentukan tahap keberkesanan komunikasi.


Imej & Haibah Pasukan
Segala tindakan dan perilaku ahli pasukan akan diterjemahkan sebagai imej dan haibah yang membentuk persepsi masyarakat terhadap pasukan. Setiap memek muka, gurau senda dan sembang sensasi perlu peka pada keadaan dan persekitaran. Manfaatkan peluang yang ada untuk menjalin hubungan ukhwah dan membina kepercayaan.

Imej dan Haibah Ahli
Rakaman gambar meringkaskan proses mencatat sesuatu peristiwa, apatah lagi sekeping gambar membawa seribu cerita. Namun bergambar secara berlebihan dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai akan membuka pintu-pintu fitnah. Begitu juga dengan foto “candid” yang mungkin tujuan asalnya sekadar bergurau, mungkin akan bertukar menjadi suatu kezaliman untuk jangka masa panjang kerana berisiko membawa trauma dalam kehidupan.

P&C (Private & Confidential)
Etika dan akhlak seorang penyelidik adalah menjadikan setiap data dan maklumat yang dikumpulkan sebagai amanah untuk dijaga serta diperlihara kerahsiaannya. Berwaspadalah dengan keghairahan bercerita atau berkongsi pengalaman supaya amanah ini kekal terpelihara.



25 May 2010

APRESIASI KEMBARA 3 PURNAMA

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga entry ini dihasilkan setelah blog berehat sejak Febuari yang lepas. Perkongsian kali ini adalah sekitar pengalaman berkelana ke seluruh Malaysia lebih dari 3 purnama untuk menyempurnakan tugasan kajian.


AASB
Terima kasih atas kepercayaan yang diberi untuk melaksanakan tugasan ini. Semoga Allah mengampunkan segala kecacatan dan kelemahan kita semua dan segala urusan kita seterusnya akan dipermudahkan penyempurnaannya InsyaAllah...

Rakan Sepasukan
Terima kasih atas kerjasama dan pertolongan serta jutaan kemaafan di atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan yang telah melemahkan fizikal, mengguris emosi, menyerabutkan akal atau menguji rohani. Fen, Abe Jef, Abe Awee, Kak Ita, Kak Ina, syukran jazilan...


Ahli Rombongan
Buat Ahmad, Is, Pian, Ahzam, Napi, Gadap, Art, As, Sila, Nun, Atie, Asmad, Syima, Zie, Fiza, Liza, Cda, Miza & Lin. Ucapan penghargaan dan apresiasi di atas segala jasa dan budi selama menjadi ahli rombongan. Kemaafan juga dipinta atas segala kesalahan dan kesilapan. Semoga segala pengalaman mematangkan kita semua dan menjadi bekalan untuk menempuh hari depan. Wan, Zaza & Mas yang masih berada dalam pasukan, teruskan usaha mencapai matlamat dan sasaran.


Keluarga
Terima kasih Allah kerana memelihara, melindungi dan menaungi keluargaku dari sebarang keburukan serta memudahkan segala urusan kami. Khusus buat Yah, Dina, Aflah & Faiq terima kasih kerana redha, memahami dan menyokong kerjaya ini. Segala pengorbanan ini adalah untuk memastikan rezeki yang halal lagi berkat menjadi milik kita bersama. Tidak lupa juga keluarga di kampung halaman yang terlalu banyak jasa dan budi.

Kia Pregio
Terima kasih kerana selama kita bersahabat karenahmu sangat minimum dan dengan izinNya segala perjalanan serta urusan berjalan dengan lancar. Bertemu dan berpisah kita kerana amanah dan tugasan.

Warga FELDA
Terima kasih kepada Pakcik Peneroka & Makcik Penerokawati atas kesudian berkongsi pengalaman dengan senyum tawa penuh keriangan dan tidak kurang juga dengan titisan air mata penuh kesyahduan... Penghargaan yang sama buat Anak & Menantu Peneroka, Cucu & Cicit Peneroka. Segala perkongsian tersebut menjadi khazanah ilmu yang tidak ternilai. Tidak lupa juga pihak pejabat rancangan yang telah bertungkus-lumus melancarkan segala gerak kerja. Izinkanlah pengalaman ini dikongsikan untuk manfaat bersama.

14 February 2010

KEMAHIRAN MENGENDALIKAN SOAL SELIDIK SECARA BERPASUKAN


Pengendalian soal selidik secara berefikasi (cekap & berkesan) memerlukan gabungan pelbagai ilmu dan kemahiran. Pada masa yang sama perlu dimantapkan dengan khazanah pengalaman yang dimiliki.

Perkongsian kita pada kali ini memfokuskan pada prasyarat-prasyarat utama yang perlu dipenuhi untuk mengendalikan soal selidik secara berpasukan.

#Hadam Soal Selidik
Kemampuan memahami dan menjiwai soal selidik dengan cara menghayati tujuan kajian dan objektif khusus setiap soalan serta natijah akhir yang akan dihasilkan, menjadi petunjuk pada tahap kemahiran seseorang individu mengendalikan soal selidik.

Proses penghadaman soal selidik secara semulajadi akan berlaku seiring dengan perjalanan masa. Penyelidik yang proaktif akan cuba menghadam soal selidik dalam masa yang singkat dengan pelbagai keadah dan cara. Antaranya dengan membuat simulasi, visualisasi atau berkongsi pengalaman dengan individu yang lebih mahir.

#Menu Tindakan
Kepelbagaian ragam manusia, senario semasa, keadaan persekitaran dan pelbagai faktor lagi menjadikan cabaran dan ujian semasa mengendalikan soal selidik berbeza antara setiap responden.

Justeru, persiapan perlu dibuat untuk menyediakan menu tindakan yang sewajarnya. Khazanah menu tindakan ini akan membantu penyelidik menyesuaikan diri semasa berhadapan dengan responden yang memiliki latar belakang berbeza dan pelbagai profil diri.

#Mukaddimah Penampilan (First Impression)
Penampilan fizikal pada hakikatnya menzahirkan niat dan keazaman yang terpasak di hati, keadaan emosi atau rasa hati di dalam jiwa serta keikhlasan dan integriti diri di lubuk sanubari. Gabungan elemen ini akan terpancar dalam mukaddimah penampilan serta menjadi penentu utama untuk membugar keyakinan diri sendiri serta menambat hati responden yang dihajati. Seterusnya akan menjadi pemangkin pada proses mengendalikan soal selidik secara berkesan.

#Membaca Personaliti Responden
Kemahiran dan kecerdasan menganalisis personaliti responden akan memudahkan kita untuk memilih menu tindakan dan perwatakan yang akan dibawa. Usaha untuk mendapatkan maklumat awal senario semasa dan keadaan persekitaran akan memudahkan lagi proses membaca personaliti responden.

#Pengenalan Diri
Ringkas, komprehensif dan sesuai adalah kata kunci pada pengenalan diri yang tepat dan bekesan. Fungsinya adalah untuk menghapuskan segala persepsi responden yang bersifat negatif dan pada masa yang sama membina rapport (perhubungan yang erat).

Pengenalan diri boleh bersifat mewakili organisasi yang objektif dan neutral, atau mewakili sebuah institusi yang berpengaruh dan berwibawa, atau mewakili wadah yang dominan dalam struktur masyarakat setempat.

#Bahasa
Penggunaan bahasa dan pemilihan kata-kata akan berperanan mengecilkan jurang antara penyelidik dan responden serta menceriakan proses pengendalian soal selidik. Penyelidik perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam risiko dianggap mengejek kerana cuba mengajuk loghat bahasa tertentu.

#Kreativiti
Proses mengendalikan soal selidik akan lebih dinamik jika elemen kreativiti dimanfaatkan secara strategik. Proses soal selidik yang terlalu terikat pada struktur borang bercetak bukan sahaja berisiko merimaskan responden, malah akan menjemukan penyelidik kerana mengulang rutin yang sama berkali-kali.

Contohnya mengendalikan soal selidik berdasarkan isu yang dibawa oleh responden tetapi masih berada dalam skop kajian. Atau mengambil inisiatif menyediakan alat bantu yang boleh memudahkan lagi proses mengendalikan soal selidik.

#Empati
Penyelidik akan berpeluang mendengar seribu satu kisah dan berkongsi pelbagai luahan dan masalah semasa mengendalikan soal selidik. Penyelidik yang terperangkap dengan perasaan simpati dan kasihan akan berisiko hilang fokus dan seterusnya terpesong dari tujuan asal.

Kemahiran berempati akan membolehkan penyelidik menzahirkan bahawa dirinya memahami dan menghayati kisah, luahan dan masalah yang dikemukakan oleh responden.

#Pengurusan Masa
Penyelidik perlu bijak menguruskan masa untuk urusan diri dan masa mengendalikan proses soal selidik supaya perancangan pasukan berjalan lancar. Sifat keterujaan pada teori dan falsafah penyelidikan perlu diimbangi dengan kekangan serta senario semasa yang dihadapi oleh pasukan.

#Batasan Janji
Lumrahnya responden akan meletakkan harapan supaya setiap luahan dan masalah yang dikemukakan ditunjuk jalan keluar atau kaedah penyelesaian. Justeru, penyelidik perlu peka pada skop kajian dan kapasiti organisasi supaya tidak terlanjur mengucapkan janji yang boleh memerangkap diri sendiri.

#Kerja Berpasukan
Setiap unit dalam pasukan menjadi penentu pada tahap kejayaan mencapai matlamat yang disasarkan. Penyelidik perlu berusaha menyempurnakan amanah yang ditugaskan dan bekerja secara berpasukan. Kegagalan menyempurnakan tugas secara berterusan akan menyebabkan penyelidik dianggap sebagai beban pada pasukan.

Setiap penyelidik perlu meletakkan sasaran yang tinggi dan bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian tahap minimum. Prestasi tinggi ini berperanan untuk membantu atau menampung ruang kelemahan yang wujud dalam pasukan.

#Situasi Luar Jangka
Penyelidik perlu bersedia untuk menghadapi keadaan luar jangka semasa mengendalikan soal selidik. Tindakan terbaik adalah berusaha keluar segera dari situasi kritikal dan mengurangkan kemungkinan untuk berkonfrantasi secara langsung bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang lebih mudharat.

#Apresiasi Diri
Penyelidik perlu berusaha memotivasikan diri sendiri untuk mengekalkan momentum dan prestasi dalam jangka masa panjang. Penghargaan terhadap diri sendiri atas pencapaian dan penyempurnaan amanah kerja, boleh dibuat dengan pelbagai cara.

Penyelidik boleh menggubal pelbagai perancangan dan jadual kerja yang komprehensif. Namun penentu hakiki pada natijah yang dihasilkan adalah hak mutlak Allah SWT. Justeru, setiap tindakan yang dilaksanakan perlu diusahakan supaya sentiasa dipenuhi dengan keberkatan. Pada masa yang sama, doa supaya dipermudahkan segala urusan dan disempurnakan segala tugasan perlu sentiasa membasahi bibir supaya subur keyakinan di hati.