07 February 2012

SIRI PERTAMA: PHNOM PENH 12 – 15 DISEMBER 2011

Kursus siri pertama yang memfokuskan pada peserta di Phnom Penh dan kawasan lingkungannya telah diadakan di Sekolah Islam Dubai, Phnom Penh.

SEKOLAH ISLAM DUBAI.

Nama sebenar sekolah ini ialah Madrasah Deenul Islamiah, dibina pada tahun 1992. Namun, sekolah yang memiliki sebuah bangunan dua tingkat ini lebih dikenali dengan nama Sekolah Islam Dubai kerana terletak bersebelahan dengan Masjid Dubai. Pada pemerhatian saya, sebahagian besar sekolah di Kampuchea terletak bersebelahan atau sama kawasan dengan masjid dan juga kawasan perkuburan.

Salah satu bilik yang besar di tingkat bawah dijadikan sebagai dewan dan salah satu bilik di tingkat atas dijadikan sebagai pejabat sekolah. Hujung sebelah kiri bangunan sekolah adalah bilik air dan tandas manakala di hujung sebelah kanan bangunan sekolah didirikan khemah sebagai tempat makan dan memasak makanan. Pelajar-pelajar sekolah ini telah diberi cuti khas kerana sekolah mereka digunakan sepenuhnya untuk kursus. Kesemua guru mereka juga tiada kerna mengikuti kursus yang dijalankan

AMANAH BERKONGSI ILMU

Kursus dimulakan dengan acara perasmian yang dilakukan oleh Okhna Kamaruddin bin Yusof iaitu Mufti Kerajaan Kampuchea. Beliau bersungguh-sungguh menyampaikan pesanan kepada para peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang berkursus ini. Pada masa yang sama menzahirkan rasa kesyukuran kerana kali pertama siri kursus seumpama ini diadakan iaitu melibatkan seluruh guru agama di Kampuchea

Saya telah diamanahkan untuk mengendalikan Kelas Ketiga bersama 40 orang peserta iaitu 32 orang ustaz dan 8 orang ustazah.Ustaz Mohd Daud bin Qasim yang juga merupakan pengetua sekolah ini diamanahkan sebagai penterjemah untuk Kelas Ketiga. Profil peserta adalah pelbagai dari segi latar belakan pendidikan, tahap tugasan mengajar dan juga umur.

Sebahagian besar peserta wanita atau ustazah adalah lepasan SMU (Sijil Menengah Ugama) yang masih menyambung pelajaran contohnya untuk mengambil STU (Sijil Tinggi Ugama) dan pada masa yang sama diamanahkan untuk menjadi guru di peringkat rendah.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERMULA

Sekolah ini yang dilengkapi dengan papan putih (white board) telah memberi peluang kepada saya untuk menggunakan marker pen. Kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai salah satu cara meningkatkan keberkesanan dalam prose pengajaran dan pembelajaran. Peserta pula digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya fail, buku nota rujukan dan buku catatan kecil yang dibekalkan kepada setiap orang.

Pengalaman ini sangat bernilai dan bererti bagi saya. Keadaan yang benar-benar menguji tahap kemahiran diri kerana perlu mengendalikan latihan luar dari kebiasaan iaitu tanpa menggunakan pencaran LCD atau OHP. Kuasa kreativiti digunakan sepenuhnya untuk melakar dan mencoret papan putih sebagai alat bantu mengajar yang utama.

PERANAN DAN PENDEKATAN PENTERJEMAH

Pada masa yang sama, saya berhati-hati untuk memilih dan menyusun kata yang akan dilontarkan kepada peserta. Bahasa yang bersifat bombastik dan jargon-jargon yang aneh perlu dihindari untuk memudahkan penterjemah melaksanakan amanah. Ustaz Mohd Daud memilih menggunakan bahasa Khmer kerana majoriti peserta yang memahaminya berbanding jika digunakan bahasa Cham.

Peranan penterjemah sangat penting terutamanya dalam memainkan peranan bagi membolehkan peserta memberi respons termasuk bertanya soalan. Apatah lagi peserta di dalam Kelas Ketiga hanya sebilangan kecil sahaja yang boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu. Jika mereka bertanya dalam bahasa Melayu sekalipun, penterjemah perlu melaksanakan tugasnya supaya keseluruhan peserta dapat turut sama memahami persoalan yang ditanya dan juga respons balas daripada saya.

Justify FullPenterjemah sebenarnya mempunyai dua pilihan. Pertamanya menterjemahkan secara perkataan demi perkataan. Keduanya, menterjemahkan secara kefahaman. Saya telah memilih jalan tengah iaitu bercakap dalam beberapa ayat pendek (tiga hingga lima ayat) dengan kadar yang dapat diingati oleh penterjemah tanpa perlu membuat catatan. Apabila saya berhenti, maka penterjemah akan mengambil giliran untuk menjelaskan ayat tersebut secara kefahaman. Saya meminimumkan pendekatan secara perkataan demi perkataan untuk memberi peluang kepada penterjemah menjelaskan apa yang saya sampaikan dengan gaya mereka sendiri yang saya yakini lebih mudah difahami oleh peserta.

izhanhamidi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment