08 February 2012

SIRI KEDUA: KAMPONG CHAM 17 - 20 DISEMBER 2011

Pada pagi Jumaat 16 Dis 2011, kami bermusafir ke Kampong Cham untuk meneruskan kursus siri kedua. Dalam perjalanan ke Kampong Cham, kami singgah ke Restoran Muk Min untuk makan tengahari. Setibanya di Kampong Cham, kami terus ke tempat program iaitu Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah atau dikenali dengan nama sekolah An-Nikmah Kampong Cham untuk meninjau keadaan. Seterusnya ke hotel penginapan yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari tempat program.

Bagi sesiapa yang pertama kali mendengar nama Kampong Cham, mungkin akan menyangka atau menganggap maksudnya sama seperti di Malaysia iaitu kampung. Menurut salah seorang peserta, nama atau istilah kampong di Kampuchea membawa maksud jeti atau tempat persinggahan kapal dan perahu. Lokasi Kampong Cham pula sememangnya terletak di tepi Sungai Mekong.

Muka bumi negara Kampuchea saya perhatikan tidak banyak tanah tinggi atau kawasan berbukit. Semasa di awal perjalanan ke Kampong Cham saya dapat melihat kawasan tanaman padi di kiri dan kanan jalan, luasnya saujana mata memandang. Apabila semakin menghampiri Kampung Cham pula, saya dapat melihat tanaman yang berbeza iaitu ladang getah yang luas.

PANORAMA PINGGIR SUNGAI MEKONG

Buat pertama kalinya saya diberikan peluang oleh Allah SWT untuk menjejakkan kaki keluar dari Phnom Penh apabila bertugas di Kampuchea. Lokasi hotel penginapan sangat menarik iaitu di tepi Sungai Mekong. Aktiviti menangkap ikan oleh nelayan sungai dapat dilihat dengan jelas. Terdapat juga kapal persiaran (cruise) yang berlabuh di tepi sungai. Diiringi dengan cahaya matahari yang sedang naik, para nelayan mula menaikkan ikan ke darat kepada para peraih yang setia menanti. Kebanyakan urusniaga yang saya perhatikan adalah berskala kecil dan kebanyakan peraih hanya menggunakan motosikal.

MADRASAH AD-DINIAH AL-ISLAMIAH

Hari Sabtu 17 Dis 2011 program siri kedua dimulakan dengan rasmi. Sekolah ini juga lokasinya berhampiran dengan masjid dan kawasan tapak perkuburan Islam. Sekolah merupakan sebuah bangunan dengan empat bilik darjah. Rumah pengetua sekolah iaitu Ustaz Ismail bin Husin yang terletak berhampiran kawasan sekolah juga berfungsi sebagai pejabat sekolah. Khemah telah didirikan di hadapan sekolah untuk dijadikan sebagai dewan perkumpulan merangkap tempat makan. Manakala salah sebuah rumah penduduk pula dijadikan sebagai tempat memasak makanan.

Suasana dan persekitaran sekolah ini bersifat terbuka kerana tidak dikelilingi pagar dan kedudukannya yang berhampiran dengan rumah penduduk. Sesi pengajaran dan pembelajaran kami sering dijenguk dan diperhatikan oleh kumpulan kanak-kanak dari kawasan penempatan tersebut.

AMANAH BERKONGSI ILMU

Kursus dimulakan dengan acara perasmian oleh Okhna Kamaruddin Yusof iaitu Mufti Kerajaan Kampuchea. Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Sabri bin Kasim iaitu Timbalan Gabenor Kampong Cham merangkap Imam Wilayah. Kelas dimulakan sejurus selepas acara perasmian.

Saya telah diamanahkan untuk mengendalikan Kelas Ketiga yang mempunyai 50 orang peserta iaitu 43 orang ustaz dan 50 orang ustazah. Profil peserta dalam program ini seperti juga di Phnom Penh iaitu pelbagai dari segi latar belakang pendidikan, tahap tugasan mengajar dan peringkat umur. Dalam program ini saya bergandingan pula dengan Ustaz Asnawi sebagai penterjemah. Beliau merupakan salah seorang tenaga pengajar di Sekolah An Nikmah, Phnom Penh di bawah kelolaan Pejabat Mufti.


CABARAN BERBEZA

Berbeza dengan keadaan di Phnom Penh, keadaan di dalam kelas agak padat kerana bilangan peserta yang lebih ramai. Keadaan ini membataskan sedikit pergerakan saya terutama untuk ke belakang kelas. Justeru, saya banyak bergerak di ruang hadapan dari satu penjuru ke penjuru sebaliknya.

Saya memilih pendekatan yang berbeza berbanding dengan program pertama di Phnom Penh kerana menginsafi bahawa para peserta tinggal di kawasan yang aktiviti ekonominya adalah pertanian dan perikanan. Saya berusaha membawakan contoh-contoh yang dekat dengan kehidupan dan aktiviti seharian mereka.

TERJEMAHAN BAHASA CHAM

Ustaz Asnawi memilih menggunakan bahasa Cham untuk membuat terjemahan kerana majoriti peserta lebih selesa walaupun mereka juga boleh berbahasa Khmer. Saya juga berusaha menghafal dan menggunakan beberapa perkataan bahasa Cham yang mudah untuk berinteraksi dengan peserta. Berdasarkan pemerhatian saya, lebih ramai peserta yang boleh berbahasa Melayu berbanding dengan peserta di program yang terdahulu iaitu di Phnom Penh.

Nombor atau bilangan dalam bahasa Cham sebutannya hampir sama dengan bahasa Melayu, iaitu:

Satu: Sa

Dua: Dua

Tiga: Klau

Empat: Empat

Lima: Lima

Enam: Nam

Tujuh: Tujuh

Lapan: Lapan

Sembilan: Sembilan

Sepuluh: Hapluh


UKHWAH ISLAM

Kebanyakan peserta bersikap mesra walaupun kelihatan agak pemalu. Mungkin kerana kurang menguasai bahasa Melayu, mereka segan untuk berkomunikasi dengan saya. Peserta yang boleh berbahasa Melayu kebanyakannya akan menyapa saya di luar kelas untuk bertanya khabar dan kebanyakannya berkongsi pengalaman bahawa mereka pernah ke Malaysia. Inilah buktinya ikatan persaudaraan yang terbina utuh berlandaskan pada ikatan aqidah walaupun berlainan negara.

No comments:

Post a Comment