11 February 2012

SIRI KETIGA: KRATIE (KRACEH) 26 - 29 DISEMBER 2011

Kursus siri ketiga dijalankan di Wilayah Kratie. Nama wilayah ini dieja secara rasmi sebagai Kratie oleh pemerintah Perancis semasa penjajahan mereka ke atas Kampuchea. Menurut penduduk, nama asal wilayah ini ialah Kraceh. Justeru, majoriti masyakat Kampuche lebih senang memanggil nama asalnya iaitu Kraceh walaupun ejaan secara rasminya ialah Kratie.

Setibanya di Wilayah Kratie, kami terus ke tempat program iaitu di Kampung Ror. Program dijalankan di sebuah sekolah yang disumbangkan oleh Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank) kepada Pertubuhan Islam Kampuchea pada 22 November 2006. Sekolah ini juga terletak bersebelahan dengan masjid. Di hujung masjid terdapat sebuah rumah yang menempatkan pelajar-pelajar tahfiz Al-Quran. Kawasan perkuburan pula terletak di seberang jalan berhadapan dengan kawasan sekolah.

Penduduk kawasan ini menjalankan kegiatan pertanian dengan padi sebagai tanaman utama. Ada juga sebahagian daripada mereka menanam tembakau. Terdapat beberapa buah rumah yang mempunyai rumah atau tempat khas untuk mengeringkan daun tembakau. Penghujung hari, kami bertolak ke bandar Kratie untuk mendaftar masuk ke tempat penginapan.

AMANAH MENYAMPAIKAN ILMU

Kursus dirasmikan oleh Imam Wilayah iaitu Ustaz Jalaluddin kerana Tuan Mufti tidak dapat hadir seperti yang dijadualkan kerana terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya. Kenderaan yang beliau pandu menghadapi masalah mekanikal dan telah terbabas.

Saya telah diamanahkan untuk mengendalikan Kelas Ketiga yang mempunyai 54 orang peserta iaitu 47 orang ustaz dan 7 orang ustazah. Profil peserta dalam program ini seperti juga di Phnom Penh dan Kampong Cham iaitu pelbagai dari segi latar belakang pendidikan, tahap tugasan mengajar dan peringkat umur. Dalam kursus ini, sekali lagi saya bergandingan dengan Ustaz Asnawi sebagai penterjemah.

CABARAN BERBEZA

Berbeza dengan Phnom Penh dan Kampong Cham, sekolah ini masih menggunakan papan hijau dan kapur tulis. Saya cuba menyesuaikan diri dan mengasah kembali kemahiran menulis menggunakan kapur. Antara kekangan yang dihadapi ialah saya tidak mempunyai pilihan dalam penggunaan warna kerana dibekalkan dengan kapur berwarna putih sahaja. Saya pula hanya membawa bekalan marker pen yang pelbagai warna.

Walaupun profil peserta dalam setiap kursus yang saya kendalikan hampir sama, saya memilih pendekatan berhati-hati dengan membuat analisis dan penelitian sebelum mencuba pendekatan yang dirasakan terbaik. Saya juga perlu memilih contoh yang benar-benar tepat dan sesuai dengan profil peserta supaya mereka mampu mengekalkan fokus pada matlamat kursus iaitu kemahiran mengajar. Saya perlu berhati-hati supaya peserta tidak beralih tumpuan dengan hanya mendalami ilmu dan secara tidak langsung mengabaikan fokus utama iaitu kemahiran mengajar.

TERJEMAHAN BAHASA CHAM

Para peserta sepakat untuk Ustaz Asnawi membuat terjemahan menggunakan bahasa Cham. Saya cuba memanfaatkan keadaan ini dengan menggunakan beberapa perkataan yang telah saya hafal semasa kursus kedua di Kampong Cham.

Gandingan bersama penterjemah sebenarnya membuka peluang kepada saya untuk melakukan beberapa perkara yang jarang dapat dilakukan jika mengendalikan sesi latihan secara berseorangan. Pertamanya ialah mencerap respon dan tindak balas peserta semasa sesi latihan dikendalikan.

Keduanya membuat catatan perkara-perkara penting atau kata kunci pada papan hitam. Justeru, saya memanfaatkan sepenuhnya papan hitam dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan membuat catatan. Saya cuba mempelbagaikan catatan dengan membuat rajah, lakaran dan model bagi memudahkan peserta faham. Terutamanya peserta yang hanya mendapat pendedahan pada tulisan bahasa Khmer dan tulisan jawi sahaja (kerana bahasa Cham menggunakan tulisan jawi). Tulisan rumi agak asing bagi mereka.

Bagi memudahkan peserta memanfaatkan buku nota rujukan, saya menulis muka surat yang sedang diajar atau dirujuk pada petak penjuru kanan papan hitam. Setiap kali berpindah ke muka surat yang baru, saya akan menukar nombor pada petak tersebut.

UJIAN KESIHATAN

Pada hari terakhir program, kaki sebelah kiri saya berasa sedikit kurang selesa. Awalnya saya menyangka hanya lenguh-lenguh biasa kerana berdiri secara rutin setiap hari untuk mengendalikan kelas yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 4.45 petang. Rupa-rupanya simptom awal pada tahap keseimbangan badan yang terjejas. Asid yang berlebihan di dalam badan menyebabkan pergelangan kaki saya membengkak. Walaupun masih boleh berjalan tetapi tidak boleh laju seperti keadaan biasa. Justeru, saya mula mengawal pemakanan dan mengambil beberapa ubat yang dibawa sebagai bekalan. Alhamdulillah sesi kelas dapat disempurnakan seperti yang disasarkan.

No comments:

Post a Comment