MADRASAH AN-NIKMAH, KAMPUNG KEH
Lokasi program iaitu di Madrasah An-Nikmah, Kampung Keh terletak lebih kurang 10 kilometer dari bandar Kampot. Persekitaran madrasah ini agak menarik kerana kedudukannya seumpamanya kompleks sekolah selain bersebelahan dengan masjid. Ini kerana di kawasan yang sama terdapat sebuah sekolah integrasi Islam yang dibangunkan oleh sebuah NGO daripada Malaysia iaitu Akademi Imam Syafie (AIS). Manakala bersebelahannya pula adalah sekolah rendah kebangsaan milik kerajaan. Jadi tiga buah institusi pendidikan berada di kawasan yang sama dan ditunjangi pula oleh sebuah masjid iaitu Masjid As-Syakirin.
Madrasah An-Nikmah mempunyai dua buah bangunan iaitu bangunan pertama di sebelah kanan masjid dengan tiga bilik darjah dan sebuah bilik dijadikan sebagai pejabat madrasah. Satu lagi bangunan adalah di sebelah kiri masjid iaitu sebuah bilik darjah dan sebuah kelas menjahit. Sepanjang pengalaman saya, kemudahan yang dimiliki oleh madrasah ini adalah antara yang terbaik di Kampuchea. Setiap kelas dilengkapi dengan lampu kalimantang dan kipas lima kelajuan.
Setelah selesai majlis perasmian oleh Imam Wilayah Kampot iaitu Haji Zuhri bin Ahmad, kami bertolak ke Kep iaitu salah sebuah bandar di pinggir laut untuk penginapan. Bandar peranginan ini memfokuskan aktivitinya pada kegiatan perikanan.
AMANAH MENYAMPAIKAN ILMU
Saya diamanahkan untuk mengendalikan Kelas Ketiga yang mempunyai 36 orang peserta iaitu 33 orang ustaz dan 3 orang ustazah. Profil peserta dalam program ini seperti juga di kursus sebelumnya iaitu pelbagai dari segi latar belakang pendidikan, tahap tugasan mengajar dan peringkat umur. Dalam kursus ini, sekali lagi saya bergandingan dengan Ustaz Asnawi sebagai penterjemah.
Kemudahan papan putih (white board) yang terdapat di madrasah ini membolehkan saya menggunakan marker pen. Pelbagai catatan dapat dibuat untuk membantu kefahaman peserta. Tambahan pula keserasian yang wujud dengan penterjemah memudahkan lagi penyempurnaan tugasan yang diberi.
TERJEMAHAN BAHASA KHMER
Terjemahan dibuat dalam bahasa Khmer kerana kerana tidak ramai peserta yang tahu berbahasa Cham atau bahasa Melayu. Sekali lagi saya membuat penyesuaian diri dengan keadaan tersebut. Pelajar dalam bahasa Cham yang disebut sebagai “Nikseh” ditukar pada istilah “Konsach” dalam bahasa Khmer.
Menurut kata penduduk, orang Kampot kebanyakannya adalah berasal Jawa iaitu keturunan pedagang dari Jawa yang datang berniaga ke Kampuchea. Namun mereka kini sudah tidak lagi boleh berbahasa Jawa. Salah satu kesan yang masih tinggal adalah golongan tua atau pakcik masih menggunakan gelaran Wak pada pangkal nama. Begitu juga dengan reka bentuk binaan rumah kediaman yang kelihatan agak berbeza dengan kawasan yang lain.
SOLAT JUMAAT
Kami mengambil kesempatan untuk solat Jumaat di Masjid As-Syakirin bersama-sama dengan para peserta. Azan dilaungkan menggunakan pembesar suara, tetapi Khatib yang menyampaikan khutbah (tanpa teks) tidak menggunakan pembesar suara. Saiz masjid yang kecil membolehkan suara Khatib sampai kepada semua ahli jemaah yang bersolat Jumaat.
PENDAKWAH
No comments:
Post a Comment