Seusai kursus di Kampot, kami terus bertolak ke Kampong Chhnang. Singgah sebentar di Phnom Penh bagi membolehkan pemandu membawa kenderaan ke bengkel untuk diperiksa. Setelah bermusafir hampir satu jam setengah kami tiba ke tempat program di Chrok Romeat, Chhouk Sor, Kampung Tralach, Kampong Chhnang pada lewat petang. Ketibaan kami disambut oleh Ustaz Haji Hashim bin Yunus, Imam Wilayah Kampong Chhnang dan juga Ustaz Ismail bin Taib iaitu imam masjid.
SEKOLAH NURUL EHSAN, KAMPONG CHHNANG
Kursus telah diadakan di Sekolah Nurul Ehsan yang terletak bersebelahan dengan masjid. Sekolah ini telah dibangunkan hasil sumbangan oleh sebuah keluarga dermawan daripada Malaysia. Sekolah ini mempunyai sebuah bangunan dengan lima bilik darjah. Sekolah yang telah berusia ini tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.
Semasa kursus ini dijalankan, khemah didirikan di hadapan sekolah untuk dijadikan sebagai dewan dan juga tempat makan peserta. Rumah bersebelahan sekolah pula dijadikan sebagai tempat memasak makanan secara gotong-royong. Pejabat masjid pula dijadikan sebagai tempat penginapan sementara untuk peserta wanita.
AMANAH MENYAMPAIKAN ILMU
Saya telah diamanahkan untuk mengendalikan Kelas Ketiga yang mempunyai seramai 26 orang peserta. Profil peserta dalam program ini seperti juga di kursus sebelumnya iaitu pelbagai dari segi latar belakang pendidikan, tahap tugasan mengajar dan peringkat umur Kali ini saya bergandingan lagi dengan Ustaz Asmawi yang berperanan sebagai penterjemah. Terjemahan dibuat dalam bahasa Khmer kerana majoriti peserta menguasai bahasa tersebut.
Sekolah ini masih menggunakan papan hijau dan kapur tulis. Saya menggunakan sebaik mungkin pengalaman sebelum ini untuk memaksimumkan penggunaannya bagi membantu kefahaman peserta dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
CABARAN DAKWAH DI KAMPUCHEA
Masyarakat di Kampung Chhnang sebelum ini pernah dipengaruhi oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai golongan Zahidin. Golongan ini mengaku beragama Islam tetapi mengamalkan ajaran agama mengikut kefahaman mereka sendiri yang pada hakikatnya tersasar jauh dari ajaran Islam yang sebenar.
Hasil usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak, sebahagian daripada ahli kumpulan ini telah berjaya dipulihkan untuk kembali pada ajaran Islam yang sebenar. Namun ancaman kumpulan ini masih belum terhapus sepenuhnya kerana masih ada lagi ahli kumpulan tersebut yang berpegang pada kepercayaan mereka.
SETULUS APRESIASI
Kesyukuran setinggi-tingginya dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mempermudahkan segala urusan kami sepanjang melaksanakan kursus ini. Hakikatnya kami melaksanakan amanah menyampaikan ilmu dan secara tidak langsung mengambil seluas-luasnya iktibar untuk mensyukuri segala nikmat dan anugerah Allah SWT yang telah dikecapi di Malaysia.
Terima kasih juga kepada Akademi Aidit Sdn. Bhd. di atas amanah dan kepercayaan serta peluang untuk memikul tugasan yang berat ini. Juga pada sahabat-sahabat seperjuangan yang bersama-sama bermusafir ke Kampuchea mahupun yang tetap di pejabat untuk melangsaikan tugasan.
Tidak lupa juga kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai penganjur kursus. Begitu juga kepada urusetia kursus iaitu pihak Yayasan Pembangunan Umat Islam Kampuchea (CMDF) dan Pejabat Mufti Kerajaan Kampuchea.
Isteri dan anak-anak tercinta yang telah berkorban dan berdikari sepanjang musafir saya ke Kampuchea serta Bonda yang berkelana ke ibukota untuk menemani ahli keluarga saya. Hanya Allah SWT sahajalah yang dapat memberi ganjaran di atas segala kebaikan tersebut.
No comments:
Post a Comment