Alhamdulillah saya telah diberikan peluang oleh Allah SWT untuk berkunjung ke Jordan dan Palestin atas urusan kerja. Kebetulan saya berangkat ke Jordan pada ulang tahun kelahiran saya mengikut kalendar masihi iaitu 27 April. Kebetulan juga pada tarikh ini bermulanya Pesta Buku KL (PBKL 2012) iaitu pesta yang wajib saya kunjungi saban tahun sekurang-kurangnya sekali kunjungan.
Kembara bermula dengan pertemuan bersama ahli rombongan yang lain di KLIA pada lewat senja. Memandangkan semua ahli rombongan datang berpasangan sama ada suami isteri, ahli keluarga atau saudara mara melainkan saya seorang sahaja sebatang kara, maka saya mendekati ketua rombongan iaitu Hj Abu Bakar. Seusai solat jamak Maghrib dan Isyak, kami menaiki pesawat Royal Jordan menuju ke Amman.
Amalan kebiasaan saya ialah mengosongkan perut untuk perjalanan yang jauh dengan tujuan mengurangkan risiko untuk ke tandas di dalam kapal terbang. Begitu juga perancangan saya untuk musafir kali ini yang bakal mengambil masa lebih kurang lapan jam. Setelah pesawat stabil di ruang angkasa, kami dihidangkan dengan makan malam. Selesai makan malam barulah saya perasan bahawa pesawat ini menghala ke Bangkok. Rupa-rupanya pesawat yang kami naiki akan singgah di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Amman, Jordan.
Perjalanan yang disangka mengambil masa lapan jam, sebenarnya ialah hampir tiga belas jam kerana perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bangkok lebih kurang dua jam dan transit di lapangan terbang Bangkok lebih kurang satu jam. Saya merancang untuk solat subuh di lapangan terbang Amman kerana kami dijangka tiba sebelum waktu subuh. Namun perancangan tersebut terpaksa diubah setelah mengetahui kami akan tiba lewat di Amman.
Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi, setelah menempuh perjalanan yang panjang kami akhirnya menjejakkan kaki ke Queen Alia International Airport. Setelah selesai semua urusan di lapangan terbang, kami telah dibawa menaiki bas ke Larsa Hotel untuk bersarapan. Rombongan kami dipandu oleh Mr. Talal sebagai pemandu pelancong.
Kami dijadualkan akan bermalam di Petra iaitu kota sejarah. Perjalanan ke Petra mengambil masa lebih kurang empat jam. Dalam perjalanan ke Petra bas kami telah ditahan oleh pihak polis sebanyak tiga kali kerana dikatakan melebihi had laju walaupun pada hemat dan perasaan saya kelajuan bas ini adalah sederhana sahaja. Pada pertengahan perjalanan, pemandu memberhentikan bas di tempat persinggahan yang mempunyai kemudahan restoran, bilik air, tempat solat dan jualan cenderamata. Urusniaga di Jordan menggunakan Jordan Dinar (JD) pada masa tersebut nilai tukarannya lebih kurang 1JD = RM4.50 atau 2JD = USD3. Sebahagian peniaga menerima urusniaga dalam USD.
Tempat pertama yang kami lawati ialah Wadi Musa iaitu lokasi batu yang mana dikatakan mengeluarkan air setelah diketuk oleh Nabi Musa AS. Batu ini berada di dalam sebuah bangunan yang sederhana besar. Air sehingga sekarang berterusan keluar dari batu ini.
Batu yang mengeluarkan air setelah diketuk oleh Nabi Musa AS |
Destinasi seterusnya ialah Petra iaitu kota tinggalan kaum terdahulu. Kota ini pada zaman dahulu merupakan tempat pertemuan dan persinggahan para pedagang atau musafir kerana lokasinya yang strategik. Kota ini juga memiliki sumber air semulajadi dari sungai yang mengalir dari atas bukit. Menurut pemandu pelancong, untuk meneroka keseluruhan kota ini, perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga hari. Kami hanya memilih laluan sederhana sahaja iaitu menuju ke Al Khazanah. Jarak ke Al Khazanah pergi dan balik lebih kurang empat kilometer. Kereta kuda disediakan untuk disewa kepada warga emas atau sesiapa yang memerlukan. Sebahagian daripada kami mengambil keputusan untuk meneroka dengan cara berjalan kaki sahaja.
Al Khazanah, Petra |
Kelazimannya badan kita kurang berpeluh apabila berada di negara beriklim panas. Namun penangan Petra membuatkan kami bermandi peluh. Sebelum mendaftar masuk ke Hotel Amra Palace International di Wadi Musa kami singgah makan tengahari di restoran berdekatan. Menu yang disediakan mampu untuk menampung semula semua kalori yang telah dibakar semasa berjalan kaki di Petra.
Keesokan harinya kami bertolak balik ke Amman selepas selesai sarapan pagi. Dalam perjalanan, Mr. Talal telah menunjukkan Shaobak Castle iaitu sebuah lokasi bersejarah berupa sebuah kota lama yang sukar dilihat dengan mata kasar kerana binaannya berwarna sama dengan kawasan persekitaran. Sayang sekali kota ini tidak dibuka untuk lawatan kerana tidak ada usaha pemuliharaan secara sistematik dilakukan.
Shaobak Castle |
Seterusnya kami singgah menziarahi makam dua tokoh Islam yang tersohor iaitu Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib di Mu'tah. Makam ini terletak di sebuah kompleks yang agak besar. Pada awalnya saya agak kehairanan kerana papan tanda di kompleks ini menggunakan dwibahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu.
Makam Zaid bin Harithah & Jaafar Abi Talib |
Persoalan tersebut terungkai apabila dijelaskan bahawa kompleks dan
makam ini menjadi tumpuan pengunjung dari Indonesia terutamanya pengikut
fahaman syiah. Fenomena ini terbukti benar kerana semasa saya
berbual-bual dengan peniaga di kawasan berhampiran hotel, mereka
bertanyakan adakah saya menziarahi makam ini? Setelah saya mengiyakan,
mereka terus mengatakan saya Syiah. Terpaksa saya jelaskan secara
panjang lebar tujuan kami menziarahi makam tersebut.
Destinasi kami seterusnya ialah Karak Castle yang terletak di bandar Karak, Jordan. Kota ini pernah ditawan oleh tentera Islam yang diketuai oleh Salahuddin Al Ayubi. Setibanya kami di Karak Castle yang terletak betul-betul di tengah pekan Karak hujan mula turun. Justeru, restoran berhampiran menjadi alternatif untuk kami makan tengahari dahulu sebelum masuk meneroka ke kota ini.
Karak Castle |
Kota ini terletak di atas bukit yang paling tinggi di kawasan tersebut. Berdiri di kota ini kita akan dapat melihat panorama pekan Karak dengan jelas. Kota ini dibina bertingkat-tingkat sebagai salah satu strategi untuk kebal bertahan apabila diserang oleh musuh. Sebuah muzium dibina di bahagian hujung kota. Pelbagai maklumat boleh didapati tentang sejarah dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan yang dipamerkan.
Seusai lawatan ke Karak Castle, kami menuju ke Hotel Larsa untuk bermalam. Selepas makan malam, perjumpaan tidak rasmi diadakan oleh ketua rombongan sebagai persiapan untuk memasuki Jerusalem pada pagi esok. Kami hanya akan membawa beg pakaian untuk keperluan tiga hari dua malam sahaja, manakala beg besar akan disimpan di hotel. Kami juga diingatkan tidak membawa sebarang bahan atau dokumen yang berunsurkan provokasi atau bersifat sensitif. Pada masa yang sama diminta berdoa supaya segala urusan kami dipermudahkan oleh Allah SWT.
Selepas sarapan kami bertolak ke sempadan Jordan dengan perasaan yang bercampur-baur. Peringkat pertama yang perlu dilalui ialah pemeriksaan di sempadan Jordan oleh pihak berkuasa Jordan. Pemandu pelancong kami hanya dibenarkan bersama rombongan sehingga di kompleks ini sahaja. Hanya pemandu bas sahaja yang dibenarkan bersama rombongan.Peringkat kedua ialah setelah melepasi sempadan Jordan. Pada peringkat ini dokumen perjalan diperiksa. Seterusnya ialah peringkat ketiga iaitu pemeriksaan fizikal bas. Alat pengesan logam digunakan untuk memeriksa bahagian bawah badan bas.
Setelah melepasi semua pemeriksaan tersebut, kami sampai ke peringkat yang keempat iaitu di kompleks transit. Kami diminta turun dan membawa beg bersama-sama. Bas hanya dibenarkan setakat kompleks ini sahaja dan akan berpatah balik ke Jordan. Di kompleks ini pertamanya semua beg perlu dimasukkan ke dalam mesin pengimbas dan seterusnya dokumen perjalan kami diperiksa. Kemudian setiap orang perlu melalui mesin pengesan logam. Pemeriksaan terhadap individu hanya dikira lulus sekiranya mesin tersebut tidak berbunyi iaitu tidak mengesan kewujudan sebarang logam pada badan. Setelah selesai semua proses tersebut, kami bergerak ke bahagian kompleks yang bersebelahan iaitu untuk urusan dokumen yang terakhir. Barulah boleh menunggu di luar kompleks untuk dijemput oleh wakil tempatan.
Setiap bahagian di kompleks ini di kawal rapi oleh anggota tentera yang lengkap bersenjata. Rata-ratanya saya perhatikan masih muda. Walaupun kelihatan bersahaja tetapi di sebalik cermin mata hitam yang dipakai mereka mengamati setiap gerak geri pengunjung. Telahan saya, mereka membuat pemprofilan pada setiap pengunjung secara tidak langsung. Ternyata pemprofilan mereka bukan sekadar pada fizikal seperti misai dan janggut atau pakaian sahaja. Saya berusaha memanfaatkan sedikit ilmu pemprofilan gelagat dan bahasa badan untuk mengelak dari menjadi fokus mereka.
Alhamdulillah, secara peribadi saya dikurniakan kemudahan oleh Allah SWT untuk melepasi semua pemeriksaan tersebut. Kami disambut oleh Saudara Fathullah yang akan berperanan sebagai pemandu pelancong sepanjang kami berada di Palestin.
Destinasi pertama kami ialah Laut Mati iaitu kawasan muka bumi paling rendah dari aras laut. Airnya enam kali ganda lebih masin berbanding laut biasa yang menyebabkan tiada hidupan yang boleh hidup di dalamnya. Saudara Fathullah mengingatkan kami supaya air laut tidak bersentuhan dengan mana-mana barangan logam kami sama ada kamera, telefon bimbit atau jam tangan. Jika menyentuh air laut, sebaik-baiknya membasuh tangan terlebih dahulu sebelum memegang barangan logam kerana risiko akan rosak kerana karat sangat tinggi.
Papan tanda peringatan untuk pengunjung Laut Mati |
Kawasan yang kami singgah merupakan sebuah pusat peranginan persendirian yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Kebanyakan pengunjung mengambil peluang untuk mandi kerana sesetengah pendapat mengatakan lumpur laut mati mempunyai khasiat penyembuhan terutama penyakit kulit.
Mount of Temptation |
Sebuah biara telah didirikan di atas bukit ini yang menggunakan
pengangkutan kereta kabel untuk pengunjung. Kami hanya memerhatikannya
dari kejauhan sahaja.
Kereta kabel ke Mount of Temptation |
Jericho the oldest city of the world |
Dalam perjalanan ke Masjid Nabi Musa AS untuk solat, bas kami telah berhenti di sebuah kawasan yang terdapat sebatang pokok bersejarah. Pokok ini dikatakan telah dipanjat oleh seorang pemuda bernama Zacheus bertujuan melihat kedatangan Nabi Isa ke Jericho. Justeru, pokok ini dikatakan berusia ribuan tahun.
Pokok Zacheus |
Kami singgah di Masjid Nabi Musa AS untuk menunaikan solat. Masjid ini juga menempatkan makam Nabi Musa AS.
Masjid & Makam Nabi Musa |
Diceritakan bahawa penduduk yang telah menemui makam Nabi Musa AS telah mendirikan masjid di kawasan ini. Di sekitar kawasan masjid kelihatan kawasan perkuburan lama.
Makam Nabi Musa AS |
Menuju ke Jerusalem |
Kami tiba ke tempat penginapan di Jerusalem iaitu iaitu Hotel International. Fathullah memberikan masa untuk kami mendaftrar masuk dan akan berkumpul semula di lobi hotel untuk ke kota Al Quds atau Kompleks Masjid Al-Aqsa.
Hotel National, Jerusalem |
Bas menghantar kami dari hotel ke pinggir kota Al Quds. Destinasi pertama diziarahi ialah kawasan Perkuburan Bab Ar Rahmah Al Islamiah yang terletak betul-betul di luar tembok Al Quds. Pada pintu masuk dicatatkan nama-nama syuhadak yang telah terkorban kerana mempertahankan Masjid Al Aqsa.
Pintu masuk ke perkuburan Bab Ar Rahmah Al Islamiah |
Setelah selesai menziarahi perkuburan kami meneruskan perjalanan untuk masuk ke komplek Al Aqsa. Setiap pintu kota di kawal oleh tentera bersenjata. Alhamdulillah rombongan kami tidak menghadapi sebarang masalah di pintu masuk tersebut.
Disepanjang tembok kompleks Al Aqsa ialah pejabat pentadbiran dan sekolah. Kami seterusnya singgah ke tempat mengambil wuduk. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok zaitun dan kelihatan seperti sebuah taman. Setelah berjalan sedikit ke dalam barulah nampak dari kejauhan kubah emas Dome of The Rock. Bahagian luar kubah lilitannya dihiasi dengan surah Yaasin manakala di bahagian dalam dihiasi dengan Ayat Kursi. Kami diberikan peluang untuk masuk sebentar ke dalam Kubah Emas. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Al Aqsa kerana hari semakin senja.
Kubah Emas "Dome of The Rock" |
Setelah berjalan melepasi Kubah Emas, maka tersergam sebuah bangunan dengan kubah berwarna hitam/kelabu, itulah Masjid Al Aqsa yang dirindui. Kedudukan Masjid Al Aqsa lebih rendah berbanding dengan Dome of The Rock. Setelah melepasi pintu gerbang dan menuruni beberapa anak tangga terdapat tempat mengambil wuduk.
Hadapan Masjid Al Aqsa |
Setelah memasuki Masjid Al Aqsa, Fathullah membawa kami ke bahagian hadapan masjid yang mana terdapat jendela yang membolehkan kami menjengah ke luar. Beliau menunjukkan tempat yang sedang dikorek oleh pihak musuh dengan berlandaskan alasan dan dalih yang direka. Matlamat sebenar mereka ialah untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa.
Semasa Fathullah membawa kami ke beberapa bahagian utama di dalam masjid, saya terperasan susuk tubuh yang telah saya rakam di dalam memori dan pasakkan niat sejak di Malaysia untuk bersua iaitu Imam masjid. Berdasarkan carian ringkas yang sempat saya buat di internet sebelum ini saya yakin beliau adalah orangnya. Saya mengambil kesempatan untuk berjumpa dan bersalam dengan beliau.
Imam Al Aqsa: Syeikh Yusuf Abu Sunainah |
Alhamdulillah kami berpeluang untuk solat Maghrib dan Isyak sebelum kembali ke hotel dengan berjalan kaki. Rombongan kami dengan pelbagai peringkat umur mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai ke hotel.
Hari kedua di Jerusalem dimulakan dengan menziarahi makam Rabiatul Adawiah yang berada di dalam sebuah bangunan dua tingkat. Tingkat pertama ialah tempat solat dan turun ke tingkat kedua terletakknya makam beliau.
Pintu masuk ke makam Rabiatul Adawiyah |
Makam Rabiatul Adawiah |
Seterusnya kami dibawa ke Mount of Olive (Bukit Zaitun) yang mana merupakan tempat paling menarik untuk melihat panorama Kompleks Al Aqsa.
Panorama Al Quds dari Bukit Zaitun |
Bukit Zaitun menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar. Di sini juga disediakan gambar beserta dengan petunjuk pada mercu tanda utama sekitar Jerusalem.
Puncak Bukit Zaitun |
Masjid & Makam Salman Al Farisi |
Makam Salman Al Farisi |
Masjid & Makam Nabi Yunus AS |
Fathullah mengambil inisiatif untuk membawa kami ke Makam Nabi Yunus AS walaupun tidak ada dalam senarai lawatan kerana perjalanan kami lancar dan masih ada waktu yang berbaki.
Makam Nabi Yunus AS |
Seterusnya dalam perjalanan ke Hebron iaitu ke Masjid Nabi Ibrahim AS, kami telah singgah ke sebuah perusahaan seramik. Bersebelahan ruang pameran adalah tempat pembuatan seramik secara tradisional. Setelah dibakar, acuan dibentuk dengan cara meniup menggunakan mulut bukannya mesin.
Perusahaan seramik secara tradisional |
Seperti yang telah dirancang, kami seterusnya menuju ke Masjid Nabi Ibrahim. Kawasan ini agak "panas" kerana masjid telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebahagian di bawah pentadbiran orang Islam dan sebahagian lagi di bawah jajahan musuh. Pintu masuk pertama kami perlu melalui pintu berpusing yang perlu dilalui oleh seorang demi seorang. Orang semakin ramai kerana waktu menghampiri ke Zohor. Pintu masuk kedua pula kami perlu melalui mesin pengimbas logam yang dikawal oleh tentera bersenjata. Salah seorang daripadanya meminta saya membuka beg sandang yang dibawa. Saya membuka bahagian tengah menunjukkan botol air mineral dan dibenarkan masuk.
Masjid Nabi Ibrahim Al Khalil |
Makam Nabi Ibrahim |
Setelah menunaikan solat Zohor di Masjid Nabi Ibrahim AS, kami seterusnya singgah ke Nativity Church. Penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa dilahrikan di sini. Semasa kami masuk, aktiviti keagamaan sedang dijalankan.
Perkarangan Nativity Church |
Dewan utama Nativity Church |
Hari ketiga iaitu hari terakhir kami di Jerusalem untuk ziarah pada kali ini, kami diberikan peluang untuk meneroka ke dalam Kubah Emas dan melakukan aktiviti bebas.
Latar belakang Kubah Emas sedang dibaik pulih |
Pintu masuk ke Masjid Mawarni |
Ruang dalam Masjid Mawarni |
Tempat dikatakan Nabi Muhammad SAW bersolat bersama para nabi sebelum Mikraj |
Seterusnya kami meneruskan ziarah ke bahagian kanan masjid iaitu Masjid Buraq. Tempat ini dikatakan lokasi Nabi Muhammad SAW menambat buraq semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
Pintu masuk Masjid Buraq |
Tempat dikatakan Nabi Muhammad SAW menambat Buraq |
Lawatan diteruskan lagi menuju ke Western Wall dengan berjalan kaki sahaja.
Terowong menuju ke Western Wall |
Plaza Western Wall merupakan tempat orang Yahudi melakukan upacara keagamaan mereka. Tumpuan mereka ialah di Wailing Wall iaitu tempat meratap yang dipisahkan antara lelaki dan wanita.
Membelakangkan Wailing Wall |
Seterusnya kami berjalan lagi menuju ke Holy Sepulchure iaitu sebuah gereja. Penganut Kristian mengatakan bahawa Nabi Isa telah disalib di tempat ini, sedangkan sebenarnya Nab Isa AS telah diangkat ke langit.
Bersebelahan dengan Holy Sepulchure ialah Masjid Umar. Masjid ini dibina bagi memperingati kisah Saidina Umar yang menolak pelawaan penjaga gereja untuk menunaikan solat di dalam gereja semasa beliau melawat ke gereja tersebut. Saidina Umar mengambil keputusan untuk solat di luar gereja bagi mengelakkan fitnah.Sehingga sekarang, pemegang kunci gereja ini adalah orang Islam.
Masjid Umar bersebelahan dengan Holy Sepulchure |
Kami kemudian berjalan menuju ke Pintu Damaskus untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke sempadan Jordan semula. Sepanjang perjalanan menuju ke Pintu Damaskus di kiri dan kanan jalan adalah bazar perniagaan pelbagai jenis barangan.
Damascus Gate |
Kami sekali lagi singgah ke Masjid Nabi Musa AS untuk solat Zohor sebelum ke kompleks di sempadan. Alhamdulillah perjalanan keluar lebih mudah berbanding perjalanan masuk. Fathullah hanya boleh mengiringi kami sampai ke kompleks ini sahaja.Saya bersyukur kerana tidak ada apa-apa karenah yang perlu kami hadapi dan semua tahap pemeriksaan berjalan secara lancar. Seusai semua prosuder, kami dijemput oleh bas dari Joran dan dibawa ke kompleks sempadan pihak berkuasa Jordan. Kami bertemu semula dengan Mr Talal yang menguruskan dokumen perjalanan kami untuk masuk semula ke Jordan. Alhamdulillah kami selamat kembali ke Hotel Larsa, Amman selepas waktu Asar.
Hari terakhir ziarah dimulakan selepas mendaftar keluar dari hotel pada jam 10 pagi. Destinasi pertama ialah Masjid dan Makam Nabi Syuaib AS.
Masjid & Makam Nabi Syuib AS |
Kami hanya melakukan solat sunat di masjid ini walaupun pada awalnya dijadualkan solat Zohor di sini kerana waktu masih awal.
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Gua Ashabul Kahfi yang terletak bersebelahan dengan sebuah masjid dan institusi pendidikan bernama King Abdullah II Institute for Imams and Preachers Preparation Qualifying and Training.
Gua Ashabul Kahfi |
Pintu masuk ke Gua Ashabul Kahfi |
Setelah makan tengahari dan solat Zohor, kami menuju ke lokasi seterusnya ialah Amman Citadel atau Jabal Qal'ah iaitu sebuah tapak tinggalan sejarah yang melambangkan ciri-ciri tiga tamadun utama iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.
Amman Citadel |
Antara Monumen di Amman Citadel |
"Itu burung Hud-Hud, tangkap gambar" (kata Mr Talal, Pemandu Pelancong kami) |
Seterusnya kami singgah ke Roman Theater yang terletak berhampiran dengan Amman Citadel.Sebahagian monumennya yang berbentuk seperti stadium ini masih kekal utuh dan dijadikan sebagai tempat aktiviti masyarakat.
Perkarangan Roman Theather |
Monumen berbentuk stadium di Roman Theater |
Setelah selesai lawatan ke tempat-tempat tersebut, kami singgah ke Amman Downtown untuk mendapatkan sedikit cenderamata buat keluarga di Malaysia.Setelah menunaikan solat maghrib dan isyak, kami ke program yang terakhir iaitu makan malam perpisahan.
Lebih kurang jam 10.00 malam kami bertolak ke lapangan terbang Queen Alia International Airport. Penerbangan dijadualkan pada jam 2.00 pagi. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 13 jam sebagaimana waktu datang ke Jordan. Alhamdulillah akhirnya saya menjejakkan kami semula ke negara tercinta pada jam 7.00 malam Jumaat.
No comments:
Post a Comment