29 November 2012

Kembara Kerja Eksplorasi Buku Jakarta 8-11 Jun 2012


Alhamdulillah, amanah kerja sekali lagi membawa saya mengembara ke negara Indonesia selama empat hari.  Tugasan pada kali ini ialah mencari buku-buku agama untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

Pengembaraan bermula dengan sesi diskusi bersama salah seorang Pakar Rujuk dan Ahli Majlis Fatwa, Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia iaitu Drs. H. Syamsul Bahri. Beliau memberikan tawawwur asas industri buku di Indonesia dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan aliran pemikiran Islam di Indonesia.

Alhamdulillah kami berkesempatan untuk meneroka ke enam buah kedai buku utama yang terletak di sekitar kota Jakarta.

1)Toko Buku Media Dakwah, 
Kompleks Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Jalan Kramat Raya, Jakarta Pusat

2)Toko Buku Wali Songo,
Jalan Kwitang Raya, Jakarta

3)Toko Buku Gunung Agung, 
Jalan Kwitang, Jakarta

4)Toko Buku & Kitab Idrus, 
Jalan Kebon Kacang, Tanah Abang, Jakarta Pusat
5)Toko Buku Agama Islam Shafa Marwa,
Thamrin City, Jalan Kebon Kacang Raya, Tanah Abang, Jakarta Pusat

6)Toko Buku Batu Bara,
Jalan Ibnu Batutoh, Kompleks UIN Ciputat, Jakarta

Misi Hari Pertama
Selepas perbincangan bersama Drs. H. Syamsul Bahri, kami mengambil kesempatan untuk menziarahi Perpustakaan kelolaan Dewan Dakwah Indonesia iaitu Perpustakaan Khadim Al Haramain Asy Syarifain Raja Abdullah bin Abdul Aziz Alu Sa'ud. Terletak di tingkat paling atas kompleks ibu pejabat Dewan Dakwah Indonesia.
Perpustakaan Dewan Dakwah
Perpustakaan Dewan Dakwah

Kemudian kami ke kedai buku milik Dewan Dakwah Indonesia iaitu Toko Buku Media Dakwah yang terletak di bahagian paling bawah kompleks. Buku-buku yang dibeli terus dimasukkan ke dalam kotak untuk tujuan pembungkusan.
Urusan pembungkusan buku untuk masuk kargo
Destinasi seterusnya ialah ke Toko Buku Wali Songo dan juga Toko Buku Gunung Agung yang merupakan destinasi terakhir pada hari ini.Kami pulang ke hotel penginapan selepas singgah makan tengahari dengan penuh kepuasan kerana misi pada hari ini telah berjaya.

Misi Hari Kedua
Eksplorasi buku pada hari kedua dimulakan dengan menuju ke Toko Buku & Kitab Idrus yang terletak di pinggir kota Jakarta. Toko buku ini terletak di sebuah lorong kecil dan berada di antara deretan rumah yang mana sebahagiannya dijadikan sebagai premis perniagaan termasuklah toko buku ini.

Kami seterusnya ke Thamrin City Mall iaitu sebuah gedung perniagaan di Tanah Abang. Terpampang kain rentang mempromosikan kedai buku yang terletak di tingkat atas bangunan. Toko Buku Agama Islam Shafa Marwa menjadi pilihan kami untuk meneruskan pencarian buku seterusnya.

Toko Buku di Thamrin City Mall, Tanah Abang, Jakarta
Selepas singgah makan tengahari, kami mengambil kesempatan untuk menunaikan solat fardhu Zohor di Masjid Istiqlal yang berstatus Masjid Negara bagi Indonesia. Juga merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara.

Masjid Istiqlal, Jakarta

Misi Hari Terakhir
Selepas mendaftar keluar dari hotel, kami menuju ke kedai buku yang terakhir berada dalam senarai sasaran iaitu Toko Buku Batu Bara yang terletak di Daerah Ciputat. Oleh kerana masa yang agak lapang kami memanfaatkan perkhidmatan membalut buku-buku yang dibeli dengan plastik yang disediakan oleh pihak toko buku secara percuma. Ini antara perkhidmatan yang ditawarkan di kebanyakan toko buku di Indonesia. Mereka begitu cekap menggunting plastik dan melekatkannya pada buku menggunakan pita pelekat.
Toko Buku Batu Bara, Ciputat, Jakarta
Akhirnya kami ke lapangan terbang dengan diiringi berkotak-kotak buku. Saya juga telah mengambil kesempatan untuk membeli beberapa buah buku untuk koleksi peribadi. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan pelbagai pilihan di hadapan mata mendetikkan niat dan azam untuk mengulangi eksplorasi seumpama ini pada masa hadapan.

www.izhanhamidi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment