Pada awalnya kursus ini dirancang untuk diadakan pada bulan November 2011, namun terpaksa ditangguhkan kerana Kampuchea telah dilanda banjir sebagaimana negara Thailand. Alhamdulillah akhirnya kursus berjaya disusun semula dan dilaksanakan pada bulan Disember 2011 sehingga ke bulan Januari 2012.
PELAKSANAAN KURSUS
1) Phnom Penh: 12 hingga 15 Disember 2011
2) Kampong Cham: 17 hingga 20 Disember 2011
3) Kratie (Kraceh): 26 hingga 29 Disember 2011
4) Kampot: 5 hingga 8 Januari 2012
Peserta terdiri daripada guru agama yang mengajar di peringkat menengah, peringkat rendah dan juga guru Al-Quran dan Fardhu Ain.
MERAPATKAN JURANG BAHASA
Persediaan awal telah dibuat dengan menyediakan nota rujukan kursus dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Khmer (bahasa rasmi Kampuchea). Pihak penganjur di Kampuchea telah membantu menterjemahkan nota rujukan kursus ke dalam bahasa Khmer.
Lima orang peserta daripada kursus perintis juga telah dikenal pasti dan dipilih untuk melaksanakan amanah sebagai penterjemah. Setiap perunding akan bergandingan dengan seorang penterjemah di dalam setiap kelas. Terjemahan akan dibuat sama ada menggunakan bahasa Khmer atau bahasa Cham mengikut profil peserta kursus. Kesemua penterjemah mahir dalam kedua-dua bahasa tersebut selain bahasa Melayu.
1) Mahir bahasa Cham kerana sebahagian daripada perkataan di dalam bahasa Cham mirip pada bahasa Melayu. Tulisan untuk bahasa Cham dieja menggunakan huruf-huruf jawi.
2) Pernah belajar di luar negara terutamnya di Malaysia, Selatan Thailand dan juga Indonesia.
Mereka ini boleh memahami bahasa Melayu asas walaupun percakapan dan sebutan mereka sedikit sebanyak dipengaruhi oleh loghat tempatan tempat mereka belajar. Contohnya peserta yang pernah belajar di Kelantan dipengaruhi oleh loghat Kelantan dan peserta yang pernah belajar di Indonesia dipengaruhi oleh loghat Indonesia.
1) Guru agama di Kampuchea melakukan pengorbanan yang besar. Mereka menggalas amanah sebagai penyampai ilmu tanpa ada gaji bulanan yang tetap. Imbuhan yang mereka perolehi hanyalah dalam bentuk sumbangan yang tidak tetap jumlahnya.
2) Guru agama perlu memfokuskan pada dua matlamat iaitu menyampaikan ilmu dan juga menyara kehidupan. Justeru, mereka melakukan pelbagai kegiatan ekonomi untuk menghasilkan punca rezeki. Oleh sebab itu, persiapan yang sempurna untuk proses mengajar sukar untuk dilaksanakan.
3) Guru agama juga mengajar dengan kemudahan dan infrastruktur yang sangat asas dan kurang sempurna. Keadaan dan persekitaran ini perlu mereka tempuhi setiap hari demi melaksanakan amanah menyampaikan ilmu kepada pelajar.
4) Guru agama juga mengajar pelajar yang serba kekurangan. Mereka belum lagi dibekalkan dengan buku teks yang sempurna sebagai rujukan. Hanya guru yang mempunyai kitab atau buku teks.
5) Guru agama tidak mendapat latihan formal kaedah mengajar. Mereka menyampaikan ilmu berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
6) Guru agama perlu menentukan sendiri silibus pelajaran lantaran mekanisme penyelarasan yang masih longgar kerana masih belum wujud kurikulum agama Islam di peringkat kebangsaan.
7) Guru agama menjadi satu-satunya sumber dan harapan masyarakat Islam mendalami ilmu agama kerana sekolah kebangsaan hanya mengajar matapelajaran bersifat duniawi sahaja. Justeru, pelajar tiada pilihan lain kecuali ke sekolah agama untuk belajar Islam.
8) Guru agama perlu menghadapi mentaliti masyarakat atau ibu bapa yang masih belum meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Faktornya adalah tekanan hidup dan tahap survival yang dihadapi menyebabkan sebahagian pelajar terabai pelajaran kerana diminta oleh keluarga untuk membantu mencari sumber pendapatan.
9) Golongan lelaki lebih mendapat peluang dan pendedahan untuk belajar dan mengajar berbanding golongan wanita. Justeru, majoriti guru agama adalah di kalangan ustaz-ustaz.
No comments:
Post a Comment