15 January 2013

Kursus Kemahiran Guru-Guru Agama Kampuchea 11-21 Disember 2012


Alhamdulillah sekali lagi berpeluang untuk menyumbangkan sedikit jasa bakti buat umat Islam di Kampuchea dengan tugasan yang telah diamanahkan. Misi pada kali ini ialah berkongsi kemahiran mengajar bersama guru-guru agama dari seluruh negara Kampuchea.
 
Program selama 10 hari ini telah diadakan di Sekolah Dubai iaitu sebuah sekolah yang terletak di pinggir bandar Phnom Penh. Bersebelahan dengan sekolah adalah masjid Dubai.
Masjid Dubai bukan sahaja menjadi tumpuan untuk melaksanakan solat fardhu berjamaah tetapi juga menjadi tempat sebahagian peserta untuk tumpang menginap. Secara rutin kami akan menunaikan solat zohor dan juga solat asar berjamaah di masjid ini.
Pada program kali ini juga, kami berkesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid ini. Keadaannya sama sahaja seperti di Malaysia cuma imamnya menyampaikan khutbah Jumaat tanpa menggunakan teks. Malahan imam juga tidak menggunakan pembesar suara kerana ruang dan struktur masjid masih membolehkan makmum mendengar suara imam dengan jelas.

Program dimulakan setiap pagi dengan sesi pertama yang diadakan secara kuliah. Para guru akan berkumpul di dewan untuk kuliah umum sebelum berpecah ke kelas yang ditentukan untuk sesi seterusnya sehingga ke petang atau lebih tepat sehingga sesi terakhir iaitu sesi selepas solat asar.

Para guru atau peserta program dibahagikan pada tiga kumpulan utama. Mereka ditempatkan di kelas atau billik yang berasingan untuk memudahkan proses perkongsian ilmu dilaksanakan.
Bagi tujuan penilaian dan mengukuhkan fokus, sesi peperiksaan diadakan selepas setiap dua hari. Para peserta perlu menduduki peperiksaan yang selaras.
Tempoh masa program yang panjang juga membuka ruang untuk kami meneroka dan mendalami sejarah negara Kemboja. Kami berpeluang mengikuti satu sesi pementasan teater berkaitan dengan sejarah negara Kemboja yang diadakan di sebuah panggung teater di Koh Pich (Pulau Berlian), Phnom Penh.
Secara umumnya pementasan tersebut menarik. Para pelakon menggunakan bahasa Khmer tetapi disediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris pada skrin di bahagian tepi pentas. Cuma paparan sejarahnya adalah dari perspektif orang bukan Islam. Justeru, perlu berhati-hati untuk menerima maklumat yang dipentaskan.
Kami juga diamanahkan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama dengan guru-guru agama yang lain menerusi program kuliah umum. Program ini dilaksanakan di dewan serbaguna Modern 5 yang terletak di jalan KM5 Phnom Penh.
Program kuliah umum dihadiri lebih kurang seratus orang peserta untuk setiap sesi. Mereka merupakan guru-guru agama dari seluruh negara Kampuchea.
Saya dibantu oleh Ustaz Musa untuk menterjemahkan penyampaian yang saya buat dalam bahasa Melayu. Kebanyakan peserta hanya memahami bahasa Khmer atau bahasa Cham sahaja. Sebilangan kecil sahaja yang memahami bahasa Melayu sepenuhnya.
Kami juga mengambil peluang untuk melawat ke sebuah  muzium tinggalan perang di zaman Khmer Rouge iaitu Toul Sleng atau juga dikenali sebagai S21.
Muzium ini asalnya adalah sebuah sekolah tetapi telah ditukar menjadi sebuah penjara atau tempat tahanan bagi golongan elit pada zaman negara Kampuchea di dalam kancah peperangan. Matlamat mereka ialah menghapuskan golongan ulama dan cendekiawan yang ditakuti akan bangkit melawan regim. Bilik-bilik darjah di tingkat bawah dijadikan sel tahanan individu manakala bilik darjah di tingkat atas pula dijadikan bilik tahanan beramai-ramai.
Bilik kurungan, alat-alat penyeksaan dan sebagainya dipamerkan seperti dalam keadaan yang asal di bangunan sekolah tiga tingkat yang mempunyai empat blok keseluruhannya. Pada bangunan terakhir diletakkan gambar-gambar mangsa perang yang telah dibunuh dan juga himpunan tengkorak yang telah dijumpai akibat peristiwa pembunuhan secara beramai-ramai.
Pada hari terakhir program kami diberikan peluang untuk menyampaikan kata-kata pesanan terakhir kepada para peserta. Harapan terbesar kami ialah mereka mampu untuk bertindak proaktif dan sentiasa bersemangat untuk melakukan perubahan demi perubahan. Sedikit perkongsian dari kami diharapkan menjadi pencetus pada proses perubahan tersebut.
Program penutup telah disempurnakan oleh kepemimpinan tertinggi umat Islam Kampuchea. Jutaaan penghargaan dan terima kasih di atas segala kerjasama dan sinergi yang membantu melancarkan pelaksanaan program pada kali ini.
Pada kali ini kami juga berkesempatan mengunjungi sebuah lapang sasar menembak. Pengalaman pertama menggunakan senjata api agak mendebarkan namun sukar dilupakan.
Walaupun disediakan sasaran atau target tetapi fokus sebenar saya adalah pada pengendalian senjata api dek kerana belum pernah menggunakannya.
Alhamdulillah segala tugasan dan amanah kerja telah disempurnakan. Kembali ke bumi Malaysia yang tercinta untuk bersama keluarga dan tugasan serta amanah yang masih ada. Apresiasi buat seluruh ahli keluarga di atas segala pengorbanan semasa berjauhan.

www.izhanhamidi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment