Alhamdulillah sekali lagi diamanahkan untuk menyempurnakan Kursus Pengurusan Islam Sekolah Agama Kemboja yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin umat Islam yang mewakili setiap wilayah atau province di negara Kemboja. Kursus berlangsung selama lima hari bertempat di Modern Five iaitu sebuah dewan serbaguna yang terletak di pinggir bandar Phnom Penh.
Mengikut perancangan awal, pengisian program difokuskan pada pengurusan sekolah agama. Namun untuk memenuhi permintaan dan realiti setempat serta kesesuaian dengan profil peserta yang hadir maka skop program turut diperluaskan pada pengurusan masjid. Realitinya di negara Kemboja, pihak kerajaan hanya menyediakan sistem persekolahan kebangsaan sahaja. Generasi muda Islam perlu menghadiri sekolah agama yang ditadbir oleh pihak pengurusan masjid untuk mendapat pendidikan agama secara formal.
Peserta diberikan ruang untuk mengadakan perbincangan dalam kumpulan untuk menyepadukan konsep yang dikemukakan dengan realiti dan pengamalan semasa di Kemboja. Perbincangan ini juga membuka ruang untuk berkongsi amalan terbaik dan pengalaman yang dimiliki oleh wakil dari wilayah yang berbeza supaya dapat dimanfaatkan secara bersama.
Peserta juga diberikan ruang untuk menyatakan pendapat dan membentangkan pandangan dan hasil perbincangan. Secara tidak langsung menyemarakkan budaya perkongsian ilmu dan pengalaman serta menjadi pemangkin pada proses penambahbaikan pada aspek-aspek pengurusan masjid dan sekolah.
Program menjadi lebih berkesan dengan sokongan dan galakan sepenuhnya daripada pihak pemimpin-pemimpin utama umat Islam Kemboja. Semoga perkongsian dan kerjasama sebegini mampu menjadi pencetus pada benih-benih dan tunas-tunas Islam di Kemboja. Kepelbagaian umur peserta pula diharapkan dapat digembleng secara sepadu untuk meneruskan kesinambungan usaha yang telah dirintis.
Kesempatan dan ruang yang ada juga digunakan untuk meninjau pelbagai projek dan program untuk pembangunan umat Islam Kemboja yang disumbangkan oleh pelbagai pihak. Antara yang sempat diziarah ialah Masjid Serkal yang sedang dalam pembinaan. Projek ini dibawah kendalian Kerajaan Kuwait dengan dana sumbangan oleh jutawan dari UAE. Semoga umat Islam Kemboja pada masa hadapan akan maju dan berkembang seindah binaan masjid yang sedang diusahakan.
Akhirnya kami kembali ke Malaysia bumi bertuah setelah selesai menyempurnakan amanah dan tugasan. Bumi bertuah ini sedang meriah dengan perayaan yang bakal tiba. Pilihanraya ke 13 yang akan berlangsung pada 5 Mei 2013 untuk menentukan kepemimpinan Kerajaan Malaysia untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Kembali juga ke pangkuan keluarga yang telah berjauhan demi tugasan ini. Terima kasih pada semua ahli keluarga yang berkorban dan memahami tuntutan amanah ini. Semoga Allah merahmati kita semua.
www.izhanhamidi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment