30 October 2009
LIMPAHAN ANUGERAH SETELAH SEMUSIM KEMARAU
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nasr bermaksud:
1. Apabila datang pertolongan Allah SWT dan kemenangan
2. Dan engkau melihat manusia masuk agama Allah SWT berbondong-bondong
3. Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat (para hambaNya).
Bagaimana menerima limpahan nikmat secara beradab?
Manusia yang menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk sama ada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta dan keterbatasan sumber tenaga serta daya penghasilan, pastinya akan melonjak kegembiraan apabila segala keterbatasan tersebut dapat dipenuhi kembali dengan nikmat dan anugerah kurniaan Allah SWT.
Justeru, surah An-Nasr secara jelas memberi panduan kepada kita adab dan cara-cara menerima limpahan nikmat daripada Allah SWT. Kita diseru supaya bertasbih, bertahmid dan beristighfar.
1. Bertasbih
Subhanallah... Maha Suci Allah.
2. Bertahmid
Alhamdulillah... Segala puji bagi Allah.
3. Beristighfar
Astaghfirullah... Aku bermohon keampunan Allah.
Kenapa bertasbih, bertahmid dan beristighfar?
Kita bertasbih untuk mengukuhkan keyakinan bahawa Yang Maha Memberi Rezeki adalah Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita dari terperangkap dengan rutin setiap hujung bulan akaun kita akan dimasukkan sejumlah gaji sebagai suatu kemestian jika kita sebagai seorang pekerja, atau kelulusan sesuatu proposal atau projek adalah terletak di tangan seseorang individu jika kita sebagai seorang usahawan. Bertasbihlah sentiasa untuk memurnikan kembali keyakinan kita.
Kita bertahmid untuk menyatakan rasa syukur di atas segala limpahan anugerah dan kurniaan Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita terhutang budi pada makhluk atau teruja dengan usaha dan kemampuan diri sendiri. Kesyukuran itu dibuktikan dengan usaha kita secara mujahadah memanfaatkan setiap nikmat tersebut untuk mencari dan mencapai keredhaan Allah SWT. Bertahmidlah sentiasa untuk membugar kembali kesuburan rasa syukur kita.
Kita beristighfar untuk membersihkan diri dari noda-noda dosa dan maksiat kita kepada Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita terperangkap dalam kemurkaan Allah SWT sama ada secara disedari mahupun secara tidak disedari. Keupayaan mengembalikan diri pada keadaan fitrah akan memudahkan kita mendapat suluhan hidayah dan petunjukNya. Beristighfarlah sentiasa untuk menggilap kembali ketulenan sifat-sifat fitrah kita.
Tidak menjadi satu kesalahan untuk bergembira dengan nikmat kurniaan Allah SWT kerana kegembiraan yang berpada-pada itu berupaya menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk melaksanakan amanah dan menyempurnakan tanggungjawab dengan lebih berefikasi. Namun kegembiraan tersebut mestilah disertai dengan kebijaksanaan supaya kita tidak dipatuk ular yang sama atau jatuh ke dalam lubang yang sama pada masa akan datang.
6 Strategi Sebagai Bekalan Meneruskan Perjuangan
Limpahan anugerah bukan merupakan noktah pada sebuah perjuangan. Sebaliknya merupakan langkah pertama memasuki fasa baru untuk membuktikan bahawa segala tasbih, tahmid dan istighfar bukan sekadar kalimah yang dilafazkan oleh mulut atau diucapkan oleh bibir semata-mata. Inilah masanya untuk menterjemahkan segala kalimah tersebut dalam pencernaan berbentuk aplikasi dan praktikal.
Berwaspadalah dengan segala niat, nazar dan janji yang terungkap atau dimonolog secara peribadi untuk memujuk hati dan menabahkan diri disaat badai ujian melanda kita. Ingatlah bahawa setiap ungkapan yang menyalahi perlakuan akan menjemput kemurkaan Allah SWT.
Justeru, sama-sama kita usahakan supaya ujian dan pengalaman yang tidak ternilai ini menjadi salah satu mekanisme yang akan mengangkat kualiti diri kita dan seterusnya lebih mentaqarrubkan diri kita kepada Allah SWT dengan memahami, menjiwai dan mempraktikkan strategi berikut:
1. ABSORB
Menyerap segala perubahan yang pasti berlaku dalam pelbagai bentuk dan keadaan serta tahap.
2. RISE
Menggerakkan diri untuk bangun semula dan berada dalam realiti baru untuk meneruskan agenda perjuangan.
3. LEARN
Mengambil iktibar dan pengajaran secara holistik dari setiap detik pengalaman yang telah ditempuhi.
4. EMPOWER
Memperkasakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran ke tahap yang lebih tinggi menerusi pelbagai kemudahan yang tersedia malahan peluang yang dicipta.
5. BELIEVE
Meyakini dan percaya secara sepenuhnya kekuasaan dan kebesaran Allah SWT serta pertolonganNya buat hamba-hamba yang sentiasa berusaha dan bertawakkal.
6. PREPARE
Menyediakan diri untuk menempuh pelbagai ujian dan cabaran sebagai tanda kasih dan sayang Allah SWT.
Semoga segala usaha ini dipermudahkan urusan pelaksanaan dan penyempurnaan hasilnya oleh Allah SWT.
Wasiat
Keberkatan dari niat suci sejahtera yang dikasihi insyaAllah akan sentiasa menjadi wasilah pertolongan daripada Allah SWT buat hamba-hambaNya yang beristiqamah dalam memperjuangkan hak dan prinsip meritokrasi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum..Izinkan ana kongsi dalam blog ana.... terima kasih...
ReplyDelete