07 September 2009

PROFIL MANUSIA YANG LAYAK MEMPEROLEHI LAILATUL QADAR

Apakah Profil Manusia Yang Layak Memperolehi Lailatul Qadar ?

Setiap individu muslim memiliki kelayakan untuk memperolehi Lailatul Qadar. Namun kita tidak boleh bersikap pesimis dan sekadar meletakkan harapan untuk memperolehinya tanpa melakukan sebarang usaha. Pepatah Arab ada menyebutkan “Sesiapa yang berusaha, dia akan berjaya”.

Antara usaha yang kita boleh lakukan ialah dengan membuat persiapan diri. Sebaik-baiknya adalah persiapan untuk melengkapkan diri dengan profil sebagai manusia yang layak mendapat Lailatul Qadar. Ringkasnya profil tersebut adalah seperti berikut:

· Mempasak Niat Suci
Tugas dan tanggungjawab kita sebagai manusia tidak terlepas dari dua perkara iaitu menjadi hamba kepada Allah SWT dan menjadi khalifah yang mentadbir bumi. Maka setiap perbuatan perlu dipasakkan dengan niat suci dan perlu berada di atas landasan untuk menegakkan kalimah syahadah.

· Memelihara Penghormatan Gelaran Hamba Allah
Sesuai dengan gelaran yang paling mulia iaitu Hamba Allah maka pembawaan diri kita mestilah bersifat menghambakan diri kepadaNYA. Segala pengharapan dan pergantungan mestilah diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Jangan sekali-kali mencemarkan diri dengan terperangkap menjadi hamba dunia, hamba material apatah hamba kepada sesama manusia.

· Ilmu Sebagai Sandaran Dan Hujah
Amalan tanpa ilmu pastinya akan meletihkan dan akhirnya mungkin menjadi sia-sia dan gagal memberikan pulangan yang diharapkan. Justeru, pastikan setiap tindakan dan amalan disandarkan pada ilmu dan hujah yang kukuh. Maka kita tidak akan mudah terpengaruh dengan jalan pintas atau terpesong dengan ajakan palsu.

· Keghairahan Memperkaya Khazanah Ilmu
Semangat dan kesungguhan untuk memperkayakan khazanah ilmu dan mempertajamkan kemahiran perlu sentiasa membuak-buak di dalam diri. Tujuannya supaya perubahan dan pembaikan diri adalah berlandaskan ilmu. Jadikan penerokaan ilmu sebagai satu proses yang berkesinambungan selagi hayat dikandung badan.

· Mencorak Pemikiran Sistemik
Setiap yang berlaku pasti membawa pengertian yang tersurat dan yang tersirat. Kemampuan berfikir menggunakan pendekatan makro dan mikro membuka ruang untuk lebih menyelami hikmah dan rahsia di sebalik kejadian. Justeru, fikiran berupaya membuat pertimbangan untuk meraih keuntungan jangka panjang, bersikap proaktif dan bersedia menghadapi risiko terburuk.






· Latih Tubi Ibadah Sehingga Menjadi Kelaziman Diri
Setiap kelaziman bermula dengan latihan. Maka diri juga mesti dilatih untuk melaksanakan ibadah secara konsisten supaya hasilnya kita berupaya melaksanakan ibadah dengan rela hati. Kelaziman yang dipupuk sehingga menjadi budaya atau cara hidup akan menghakis segala alasan yang biasanya dijadikan sandaran.

· Menjaga Kesihatan Secara Holistik
Pepatah Arab ada menyebutkan “Kecerdikan akal berada pada badan yang sihat”. Fizikal manusia seumpama jentera atau mesin yang mempunyai manual peraturan dan batasan penggunaan. Kecuaian dalam menyaring elemen-elemen yang memasuki atau mempengaruhi fizikal akan mengundang risiko penyakit yang merbahaya yang seterusnya akan mempengaruhi prestasi diri.

· Tampil Sebagai Cerminan Ilmu
Kita diberikan amaran keras oleh Allah SWT dari perbuatan mengatakan apa yang tidak kita buat atau bak kata pepatah, cakap tak serupa bikin. Ini kerana lafaz bicara kita hakikatnya adalah cerminan syahsiah diri yang sebenar. Justeru, hanya penampilan diri yang bersifat cerminan pada ilmu yang dimiliki mampu memelihara maruah dan kredibiliti diri kita.

· Memupuk Emosi Paranoid Secara Sihat
Tarikh ajal dan kiamat yang tiada kepastian sedikit sebanyak akan mengganggu emosi kita. Jika tidak mampu dikendalikan secara bijaksana, berisiko menjadi penyebab pada pudar semangat dan putus harapan. Justeru, penyelesaiannya ialah dengan memupuk emosi paranoid secara sihat iaitu dengan meningkatkan persiapan diri, sentiasa bersedia dan mengekalkan standard serta kualiti diri pada tahap tertinggi.

· Berfikiran Positif Untuk Hidup Optimis
Persekitaran yang kita alami sebenarnya adalah cerminan pada sifat dan sikap yang kita amalkan. Seburuk mana pun kejadian yang berlaku, mampu diterima dengan sabar jika kita berfikiran positif. Sebaliknya sebaik mana pun kejadian yang berlaku, akan tetap dibenci dan menimbulkan rasa gelisah jika kita berfikiran negatif. Justeru, sentiasalah berfikiran positif untuk hidup secara optimis.

Kesimpulan
Profil yang dinyatakan ini sekadar memfokuskan beberapa aspek asas sahaja. Sebarang inisiatif untuk memperkukuhkan profil ini adalah sangat dialu-alukan kerana ruang pembaikan pada hakikatnya tiada batasan. Matlamat utama yang disasarkan ialah untuk memperkasakan potensi diri dalam semua dimensi iaitu rohani, akli, jasmani dan emosi.


Petikan sebahagian artikel bertajuk Lailatul Qadar Suatu Penjelasan, yang disiarkan dalam Majalah Al-Kulliyyah, Bil 16 Tahun 5 / Ogos 2009 terbitan Badan Dakwah Daerah Petaling

No comments:

Post a Comment