07 August 2009

Blog Iftitah



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Alhamdulillah, niat untuk memulakan sebuah blog dapat direalisasikan pada hari ini. Berbeza dengan penglibatan dalam laman Facebook yang lebih menjurus pada menghubung dan mengukuhkan semula ikatan silaturrahim yang sedia terjalin. Blog ini lebih mengkhusus pada matlamat pembangunan dan peningkatan kerjaya serta kredibiliti diri. Justeru, beberapa pasak dijadikan sebagai teras utama:

· Kerelaan diri bergabung dengan sebuah organisasi yang berupaya menjalankan operasi dengan kadar pematuhan pada syariah yang tinggi dan meletakkan faktor keberkatan sebagai keutamaan. Jauh di sudut hati memahami dan menyedari cabaran dan risiko yang perlu diharungi atas pilihan bekerja di sebuah syarikat swasta berstatus sendirian berhad.

· Memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang tersedia dalam organisasi untuk mendapat panduan dan bimbingan yang bukan sekadar bersifat teori malahan praktikal serta dilihat sebagai cerminan pada realiti kehidupan.

· Merealisasikan visi dan misi yang dibawa oleh organisasi dengan menganggapnya sebagai cabaran untuk meningkatkan potensi diri. Bersedia menggalas tugas dan amanah dalam bidang kajian, latihan atau perundingan. Menetapkan sasaran untuk menguasai kaedah menggubal metodologi kajian dan membuat analisis secara kritikal, menggubal modul bersifat model dan bernilai tambah, menyalur khidmat nasihat dalam pengurusan Islam dan kaunseling Islam serta menghasilkan karya penulisan yang bersifat semasa.

· Meningkatkan usaha untuk mengubah cabaran dalam meningkatkan potensi diri menjadi peluang. Antaranya penguasaan bahasa Inggeris terutama dalam aspek penulisan dan percakapan. Mengasah kemahiran berfikir secara multi thinking untuk menyempurnakan amanah dengan lebih cekap dan berkesan.

Medan ini akan menjadi wasilah untuk merakamkan khazanah ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi dan juga yang akan cuba digapai. Walaupun laman bersifat peribadi, namun dibuka untuk tatapan umum atas niat “ilmu yang dimanfaatkan”. Justeru, perkongsian dan sinergi yang boleh membawa impak positif adalah dialu-alukan.

“Allahumma yassir wala tu’assir wa atmim bil khair”

Wassalam
-16 Syaaban 1430H-

2 comments:

  1. Pembukaan yang sungguh menyentuh jiwa... laksana CEO berbicara atau perunding utama meluahkan isi rasa atau perunding kanan untuk kami semua di AASB

    ReplyDelete
  2. salam sahabat, nice blog..pls come n visit my blog gak... nordinjaafar.blogspot.com
    tq

    ReplyDelete