Bagaimana Bersikap Proaktif?
Pendekatan bersifat proaktif kini lebih diutamakan berbanding dengan pendekatan bersifat reaktif. Kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan krisis diperkembangkan menjadi kemahiran mengenalpasti masalah dan mencegah krisis.
Contohnya pasukan Bomba bukan sekadar memiliki kemahiran memadamkan kebakaran dan mengawal api supaya tidak merebak ke kawasan yang lain. Sebaliknya pasukan Bomba kini dilatih untuk mengenalpasti petanda-petanda awal akan berlakunya kebakaran dan memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai, bagaimanakah langkah terbaik untuk mencegah berlakunya kebakaran.
Contoh lain, pengamal perubatan termasuk jururawat bukan sekadar memiliki kemahiran untuk membuat diagnosis ke atas pesakit seterusnya memberi priskripsi ubat supaya penyakit tidak berlarutan atau berjangkit kepada orang lain. Sebaliknya mereka perlu dilatih untuk mengenalpasti simptom-simptom awal yang boleh menimbulkan penyakit atau wabak serta berusaha mencegah berlakunya penularan penyakit atau wabak sehingga ke tahap pandemik.
Mengapa Masalah Disorok?
Tabiat manusia adalah menyimpan atau menyorok masalah dengan pelbagai sebab dan alasan. Seringkali dilihat dan dianggap satu keganjilan atau kejanggalan bila sesuatu masalah ditimbulkan atau dijadikan sebagai fokus perbincangan. Justeru, masalah sukar dikenalpasti dan langkah-langkah pencegahan gagal direncanakan. Secara umumnya terdapat lima punca utama yang menyebabkan masalah disorok, iaitu:
#Budaya takut
#Struktur atau hierarki organisasi yang kompleks
#Halangan komunikasi
#Pudar gerak hati
#Kurang latihan dan bimbingan
Minda Proaktif
Pintu utama untuk memiliki kemahiran mengenalpasti masalah dan mencegah krisis ialah dengan melakukan anjakan paradigma untuk membina satu kerangka pemikiran yang baru yang dinamakan sebagai Minda Proaktif. Kerangka pemikiran ini dibina di atas empat teras yang utama, iaitu:
#Keghairahan menggali ilmu
#Pemikiran bersifat sistemik
#Paranoia secara sihat
#Obses secara positif
Proses untuk menghasilkan teras tersebut secara umumnya boleh dibahagikan pada tujuh langkah asas yang berikut:
1. Memintas halangan komunikasi
Tindakan yang boleh dibuat ialah dengan berusaha untuk mendapatkan maklumat dari sumber yang primer seumpama cuba mendengar sendiri sesuatu perkara atau berita. Tidak hanya berpuas hati dengan satu sumber, malahan mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan sumber maklumat. Meluaskan pergaulan terutama dengan ganerasi yang lebih muda. Melibatkan diri dengan semua golongan dan tidak terbatas pada kelompok utama atau tertentu sahaja. Pada masa yang sama membuka minda untuk mendengar luahan rasa atau pendapat pihak luar yang tiada kaitan secara langsung.
2. Membawa perwatakan etnografer
Tindakan yang boleh dibuat ialah membebaskan diri dari perangkap pelbagai persepsi atau tanggapan awal yang bersifat sangkaan semata-mata. Setelah itu, pemerhatian dibuat dengan menggunakan pelbagai sumber dengan meletakkan sasaran untuk medapatkan sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan. Semua maklumat direkodkan secara andal untuk memudahkan rujukan pada masa hadapan.
3. Mengamati corak dan urutan peristiwa
Tindakan yang boleh dibuat ialah memanfaatkan kelebihan gerak hati sebagai salah satu mekanisme membuat pertimbangan dan keputusan. Berwaspada apabila membuat perbandingan bagi mengelak dari terjebak dalam analogi bersifat janggal. Memfokuskan penyelesaian pada masalah yang dihadapi dan jangan sekali-kali mengambil jalan pintas dengan membuat pemadanan antara penyelesaian yang telah dimiliki dengan masalah yang bakal dihadapi.
4. Mengadun data dan maklumat
Tindakan yang boleh dibuat ialah setiap data dan maklumat yang diperolehi diadun secara bijak walaupun secara zahirnya kelihatan seperti berasingan dan tiada perkaitan antara satu sama lain. Perkongsian data dan maklumat perlu dijadikan budaya di semua peringkat secara menyeluruh. Justeru, kemahiran mengintegrasikan pemikiran merupakan salah satu prasyarat utama untuk mengadun data dan maklumat.
5. Mengambil iktibar dari kesilapan
Tindakan yang boleh dibuat ialah membezakan antara kesilapan yang melanggar prinsip dengan kesilapan yang boleh dimaafkan. Tujuannya supaya kesilapan tersebut boleh dijadikan sebagai kaedah untuk memperbaiki kemahiran dan mutu kerja yang dihasilkan. Hakikat yang sebenar ialah kita bukannya melakukan kesilapan tetapi belajar cara yang kurang tepat untuk mencapai matlamat.
6. Menggilap kemahiran bercakap dan mendengar
Tindakan yang boleh dibuat ialah menggilap kemahiran komunikasi terutama bercakap dan mendengar. Pengabaian pada mana-mana aspek komunikasi akan mengganggu kelancaran penghantaran dan penerimaan data dan maklumat. Latihan kemahiran komunikasi perlu diberikan pada semua peringkat dalam organisasi bagi mewujudkan keseragaman amalan dan tindakan.
7. Membuat penilaian secara keseluruhan
Tindakan yang boleh dibuat ialah menjadikan proses muhasabah sebagai budaya. Setiap tindakan perlu disusuli dengan proses semakan dan penilaian semula. Adalah lebih baik mengenalpasti kelemahan sendiri untuk dilakukan proses pembaikan berbanding mencari kelemahan pesaing untuk diambil kesempatan. Semakan dan penilaian perlu dilakukan secara menyeluruh iaitu bukan sekadar melihat aspek positif bahkan meliputi aspek negatif.
Kemampuan mengenalpasti masalah dan mencegah krisis akan melonjakkan diri kita beberapa langkah kehadapan untuk menjadi peneraju bidang yang diceburi. Pepatah Arab ada mengatakan “mencegah itu lebih baik dari mengubati”.
No comments:
Post a Comment