26 March 2011

CARA HIDUP BERDISIPLIN MASYARAKAT JEPUN

Saya tertarik dengan komitmen rakyat negara Jepun mengamalkan cara hidup berdisiplin walaupun berada dalam keadaan tidak stabil setelah dilanda gempa bumi dan tsunami. Pelbagai media masa termasuk blog-blog individidu yang mengulas dan menyatakan kekaguman mereka pada sikap tersebut.

Komitmen rakyat Jepun pada disiplin dapatkita saksikan menerusi foto yang menunjukkan mereka tetap beratur untuk mendapatkan bantuan, mengambil air minuman, membeli barang keperluan termasuk di stesen minyak untuk mendapatkan petrol. Perkara ini tidak terlepas dari perbincangan saya bersama sahabat-sahabat.








Persoalan yang berlegar di dalam pemikiran ialah, apakah faktor yang memotivasikan rakyat Jepun untuk terus mengamalkan cara hidup berdisiplin dalam keadaan sedemikian?

Berdasarkan andaian, faktor-faktor berikut berkemungkinan besar menyumbang pada kejayaan rakyat Jepun untuk meletakkan disiplin pada tempat yang istimewa dalam hidup mereka.

1. Keyakinan bahawa setiap daripada mereka dijamin akan mendapat bantuan yang disediakan oleh pihak berwajib. Maksudnya hak mereka terjamin dan beratur hanyalah sebagai salah satu proses untuk mendapatkannya. Jika lambat datang, maka akan tetap mendapat bantuan atau hak tersebut walaupun pada giliran yang terkemudian.

2. Pihak berkuasa Jepun memiliki pangkalan data dan sistem pengurusan maklumat yang cekap dan berkesan. Hasilnya setiap bantuan dapat diagihkan secara cekap dan berkesan kerana anggaran dapat dibuat secara tepat.

3. Sistem penyampaian yang berakauntabiliti membolehkan mereka mendapat bantuan dan hak sebagaimana yang diumumkan dan diperuntukkan oleh pihak kerajaan. Risiko penyelewengan dan salah guna bantuan yang rendah, meredakan tekanan rakyat Jepun.

4. Sokongan bersepadu daripada pelbagai institusi yang sanggup bersama-sama menanggung kesusahan. Contohnya diberitakan pasaraya sanggup menurunkan harga barang keperluan untuk kemudahan rakyat mereka. Manakala bank-bank pula sanggup menyuntik dana ke dalam sistem ekonomi dan kewangan mereka bagi menjamin kestabilan keadaan ekonomi.

5. Kesanggupan memohon maaf atas apa yang berlaku dan tidak bersikap menunding jari menghalang berlakunya dendam dan menyalahkan orang lain. Pengendali loji nuklear contohnya mengunjungi penempatan sementara mangsa bencana dan memohon maaf kepada orang ramai secara terbuka.

Iktibar yang boleh dipelajari oleh rakyat Malaysia ialah, bersama-sama kita cuba memenuhi prasyarat-prasyarat tersebut sebagaimana yang dipamerkan oleh rakyat Jepun sebagai salah satu usaha untuk kita membudayakan cara hidup berdisiplin.


1 comment:

  1. itu la dikatakan hidup dorg ni dah tahap tamadun tinggi, tahap pmikirn pun dah tahap tinggi, xde dah fikir bnda gaduh2 ni cm budak kecik yg x lum pndai fkir kn. cuba le org israel yg sntiasa bperang @ mn2 negara yg sntiasa bperang tu bfikirn matang cam jepun ni kn

    ReplyDelete