23 July 2011

KEMBARA KETIGA KAMPUCHEA 29 JUN-3 JULAI 2011: MISI PENDIDIKAN

Alhamdulillah, amanah kerja sekali lagi membawa saya ke Phnom Penh, Kampuchea. Peluang bersama 30 tenaga pengajar lelaki yang menjadi tulang belakang sekolah agama di seluruh negara Kampuchea menghimpunkan khazanah pengalaman yang pelbagai. Catatan ini bertujuan untuk saya mengongsikan pengalaman tersebut bersama para pembaca. Semoga ada manfaat untuk kita bersama.

Sistem Pendidikan Islam Kampuchea Pasca Peperangan
Peperangan bukan sahaja meragut nyawa para daie dan ilmuan Islam, malahan memusnahkan khazanah ilmu yang dimiliki oleh umat Islam Kampuchea. Sistem pendidikan Islam era pasca peperangan terpaksa dimulakan kembali dengan langkah yang pertama. Cabaran menjadi semakin besar kerana subjek agama Islam tidak tersenarai di dalam kurikulum sistem pendidikan kebangsaan. Justeru, tidak ada peruntukan dana dan penetapan dasar serta polisi yang dapat membantu pembangunan sistem pendidikan Islam.

Masjid Sebagai Pusat Penyebaran Pendidikan Islam
Pendidikan Islam ditawarkan secara tidak formal dengan masjid dijadikan sebagai pusat penyebaran yang utama. Usaha tersebut ternyata membuahkan hasil walaupun memakan masa yang panjang. Kini setiap masjid mempunyai kemudahan sekolah untuk menampung keperluan pendidikan masyarakat di sekitarnya. Justeru, pendidikan Islam dapat ditawarkan sebagai pelengkap pada pendidikan kebangsaan. Langkah seterusnya adalah meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan pendidikan Islam.

Tokoh Pembina Masyarakat
Amanah membina semula sistem pendidikan Islam di Kampuchea merupakan tugas yang berat. Keterbatasan sumber pada era pasca perang merupakan cabaran utama yang perlu diharungi. Bilangan ilmuan dan guru agama yang sangat kecil tidak mampu menampung keperluan untuk masyarkat Islam. Kekurangan buku dan bahan ilmiah menambahkan kerumitan yang dihadapi akibat ketiadaan sistem yang boleh dirujuk. Ditambah pula dengan keterbatasan infrastruktur dan kemudahan yang boleh digunakan.

Namun, cabaran tersebut tetap disambut oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Kamaruddin Yusuf iaitu Mufti Kerajaan Negara Kampuchea untuk merintis kembali usaha tersebut.Beliau telah mengambil inisiatif membuka kelas pengajian agama dengan menggunakan sistem pengajian pondok. Bermula dengan menyediakan peluang untuk masyarakat Islam di sekitar kampung untuk menimba ilmu agama, akhirnya terus berkembang dengan menarik minat pelajar dari serata Kampuchea untuk datang menuntut ilmu. Usaha beliau telah mendapat pengiktirafan dengan dilantik sebagai Mufti Kerajaan Kampuchea. Anugerah ini membuka peluang untuk beliau melipatgandakan usaha memartabatkan pendidikan Islam. Beliau berusaha mengarusperdanakan pendidikan Islam dengan menjadikan ibu negara Kampuchea iaitu Phnom Penh sebagai pusat operasi.

Tulang Belakang Pendidikan Islam
Jika SS Mufti diibarat sebagai otak yang merencana sistem pendidikan Islam, maka para guru agama yang bersama perjuangan beliau boleh dianggap sebagai tulang belakang yang mendokong penuh usaha tersebut. Tenaga muda yang berada di saf hadapan pada hari ini dalam usaha membina sistem pendidikan Islam merupakan hasil pelaburan yang telah dilakukan oleh SS Mufti sejak sekian lama. Beliau telah memilih pelajar-pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beliau telah berusaha mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada negara-negara Islam untuk menampung keperluan pelajar-pelajar tersebut. Hasilnya pelajar-pelajar ini bertebaran ke serata dunia untuk mendalami ilmu agama termasuklah ke Malaysia.

Kecekalan Jiwa Guru Agama
Secara peribadi saya mengkagumi kecekalan jiwa yang ditunjukkan oleh guru-guru agama di Kampuchea. Mereka menyerahkan seluruh jiwa raga demi mendidik anak bangsa dengan ilmu agama. Ganjaran yang diharapkan hanyalah pahala dan keredhaan Allah SWT. Buktinya gaji atau lebih sesuai dianggap elaun sebagai guru agama tidak besar jumlahnya dan tidak tetap penerimaannya. Ini kerana sumber dana banyak bergantung pada hasil zakat dan sumbangan. Mereka tidak berpeluang memfokuskan sepenuh perhatian pada pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana perlu meluangkan masa melakukan kerja-kerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan demi survival hidup.

Alah Bisa Tegal Biasa
Guru-guru agama juga mengajar dengan infrastruktur dan kemudahan yang terbatas. Kekurangan ini diterima dengan redha dan tidak dijadikan sebagai alasan untuk merencatkan segala usaha yang telah dibuat. Buktinya program kami selama empat hari seringkali diganggu oleh bekalan elektrik yang terputus. Namun perjalanan program tetap diteruskan seperti biasa seolah-olah tiada gangguan. Pengalaman ini benar-benar menguji tahap kebolehan kami untuk berhadapan dengan situasi luar jangka semasa mengendalikan sesi latihan. Saya tidak dapat membayangkan kelancaran program sebegini jika situasi yang sama berlaku di tanah air sendiri terutama di sekitar Lembah Klang tempat saya mencari rezeki.

Kesungguhan Menimba Ilmu
Saya juga mengkagumi kesungguhan para guru agama menimba ilmu. Sepanjang empat hari berkongsi ilmu pedagogi sukar sekali menemui peserta yang kelihatan kurang bermaya atau mengantuk. Peluang bertanya soalan semasa sesi kuliah sentiasa dimanfaatkan. Sesi bengkel pula sentiasa aktif dengan pelbagai isu dan topik yang diperbicangkan. Pada pemerhatian saya, kemungkinan latar belakang sebahagian besar guru agama yang pernah mendapat pendidikan sistem pengajian pondok menyebabkan mereka cenderung untuk mengetahui setiap patah perkataan pada nota yang dibekalkan. Pengalaman dalam misi sebelumnya banyak membantu saya menjelaskan istilah-istilah tersebut secara mudah dan praktikal.

Penyelarasan Usaha Pembangunan Sistem Pendidikan Islam
Masyarakat Islam di Kampuchea bersyukur kerana banyak negara yang tampil menghulurkan bantuan kepada mereka. Termasuklah pelbagai pihak daripada Malaysia yang sering membawa bantuan dalam pelbagai bentuk dan cara. Cabaran yang dihadapi ialah impak atau kesan daripada bantuan yang diterima tidak berkadaran dengan jumlah sumbangan. Antara faktor utamanya ialah aspek penyelarasan yang masih boleh dipertingkatkan.

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak terutama para dermawan daripada Malaysia untuk menjadikan Pejabat Mufti Kerajaan Kampuchea sebagai penyelaras pada usaha pembangunan sistem pendidikan Islam di Kampuchea. Tujuannya menjadikan bantuan yang disalurkan mendatangkan impak yang sewajarnya pada pembangunan sistem pendidikan Islam di Kampuchea. Pada masa yang sama dapat mengelak dari wujudnya unsur-unsur persaingan dan kepentingan peribadi.


No comments:

Post a Comment