Kesedaran masyarakat Islam pada kelebihan dan kebaikan membuat pelaburan emas semakin meningkat. Keghairahan dan perkembangan secara mendadak ini jika tidak ditangani secara bijaksana akan memerangkap pembeli atau pengguna yang membuat keputusan secara terburu-buru. Tujuan saya menulis entri ini dari perspektif seorang pengguna adalah untuk memberi sedikit panduan kepada pengguna untuk memahami trend harga emas sebagai persediaan berfikir secara rasional dan membuat keputusan secara bijaksana.
Saya hanya akan memfokuskan pada emas berbentuk fizikal sahaja. Justeru, produk pelaburan emas menggunakan buku simpanan atau secara maya tidak termasuk di dalam perbincangan ini walaupun mungkin ada sedikit sebanyak persamaan.
Variasi Emas Dalam Pasaran
Terdapat pelbagai produk emas di dalam pasaran. Sebahagiannya adalah untuk tujuan digunakan sebagai medium transaksi, pelaburan dan barang perhiasan. Justeru, fizikal produk dibangunkan atau dibentuk bersesuaian dengan tujuannya dikeluarkan. Contohnya emas yang digunakan sebagai medium pertukaran atau biasanya dinamakan sebagai dinar menggunakan emas 916 supaya lebih tahan lasak. Manakala kijang emas yang dikeluarkan untuk tujuan pelaburan pula menggunakan emas 999. Barang kemas pula ditempa dengan pelbagai bentuk serta digandingkan dengan bahan lain seperti permata dan berlian untuk tujuan perhiasan dan harganya lebih mahal.
Kaedah Membaca Trend Harga Emas
Kita boleh membaca trend harga emas dengan membuat pemerhatian pada turun naik harga emas sekurang-kurangnya dalam masa setahun. Bagi tujuan penulisan entri ini saya mengambil kijang emas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai contoh. Cara yang paling mudah adalah dengan merujuk pada laman web bank negara Malaysia (http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=12&pg=141&lang=en&StartMth=1&StartYr=2011&EndMth=7&EndYr=2011). Harga emas dalam laman web ini dikemaskini setiap hari bekerja. Gambaran secara keseluruhan boleh kita perhatikan dengan merujuk pada graf turun naik harga emas.
Trend Bulanan
Secara umumnya trend bulanan harga emas boleh kita sifatkan seperti tangga anjal yang sentiasa menaik ke atas. Kesan kenaikannya lebih dominan berbanding dengan kesan penurunan. Contoh mudahnya ialah harga emas pada 1 hari bulan mengalami kenaikan sebanyak 7% kemudian turun sebanyak 4% pada 2 hari bulan. Seterusnya pada hari ketiga naik kembali sebanyak 8%. Pada hari keempat turun sebanyak 5%.
Trend Tahunan
Trend harga emas secara tahunan boleh kita fahami dengan dengan cara yang sama iaitu dengan membuat perbandingan turun naik harga emas mengikut tahun. Secara umumnya trend harga emas tahunan juga menunjukkan sifat tangga anjal yang sentiasa menaik ke atas. Kesan kenaikan lebih dominan berbanding dengan kesan penurunan.
Waspada Trend Harian
Kemampuan membaca trend harga emas akan membantu kita berfikir secara rasional dan dapat membuat keputusan secara bijaksana. Waspada untuk tidak terpengaruh dengan turun naik harga emas dalam masa sehari sahaja atau hanya membuat pemerhatian pada pada trend harian sahaja. Kecuali setelah anda benar-benar mahir dengan segala seluk-beluknya. Elakkkan diri daripada terperangkap dengan ungkapan "harga emas paling murah dalam minggu ini" dan sebagainya.
Jurang Harga Beli Dengan Harga Jual Semula
Kita juga perlu memahami perbezaan atau jurang yang wujud di antara harga emas semasa dibeli dengan harga emas apabila dijual semula. Terdapat perbezaan nisbah jurang di antara emas yang berlainan saiz. Contohnya jurang bagi kijang emas bersaiz 1 auns lebih kecil peratusannya berbanding dengan saiz 1/2 auns atau 1/4 auns.
Bagaimana Pelaburan Emas Fizikal Menguntungkan?
Harga emas fizikal akan sentiasa naik secara relatifnya dalam jangka masa panjang. Maksudnya nilai emas tidak akan berkurangan atau mengalami susut nilai. Berbeza jika kita menyimpan dalam bentuk wang tunai, nilainya akan susut disebabkan oleh pelbagai faktor seperti keadaan ekonomi dan kadar inflasi.
Apa Risiko Yang Ditanggung?
Pemilik emas fizikal berhadapan dengan risiko segi keselamatan untuk menyimpan emas tersebut. Jika disimpan sendiri, maka perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai risiko. Sebaliknya jika memilih untuk menggunakan peti simpanan di mana-mana institusi kewangan, maka perlu menanggung kos perkhidmatan yang dikenakan.
Perkembangan Semasa
Sambutan masyarakat terhadap emas fizikal semakin menggalakkan. Beberapa bulan terakhir tahun 2011, stok kijang emas terutamanya untuk saiz 1 aun telah kehabisan. Menurut sumber daripada Bank Negara, stok baru hanya akan berada di pasaran pada bulan April 2012.
www.izhanhamidi.blogspot.com