14 February 2010

KEMAHIRAN MENGENDALIKAN SOAL SELIDIK SECARA BERPASUKAN


Pengendalian soal selidik secara berefikasi (cekap & berkesan) memerlukan gabungan pelbagai ilmu dan kemahiran. Pada masa yang sama perlu dimantapkan dengan khazanah pengalaman yang dimiliki.

Perkongsian kita pada kali ini memfokuskan pada prasyarat-prasyarat utama yang perlu dipenuhi untuk mengendalikan soal selidik secara berpasukan.

#Hadam Soal Selidik
Kemampuan memahami dan menjiwai soal selidik dengan cara menghayati tujuan kajian dan objektif khusus setiap soalan serta natijah akhir yang akan dihasilkan, menjadi petunjuk pada tahap kemahiran seseorang individu mengendalikan soal selidik.

Proses penghadaman soal selidik secara semulajadi akan berlaku seiring dengan perjalanan masa. Penyelidik yang proaktif akan cuba menghadam soal selidik dalam masa yang singkat dengan pelbagai keadah dan cara. Antaranya dengan membuat simulasi, visualisasi atau berkongsi pengalaman dengan individu yang lebih mahir.

#Menu Tindakan
Kepelbagaian ragam manusia, senario semasa, keadaan persekitaran dan pelbagai faktor lagi menjadikan cabaran dan ujian semasa mengendalikan soal selidik berbeza antara setiap responden.

Justeru, persiapan perlu dibuat untuk menyediakan menu tindakan yang sewajarnya. Khazanah menu tindakan ini akan membantu penyelidik menyesuaikan diri semasa berhadapan dengan responden yang memiliki latar belakang berbeza dan pelbagai profil diri.

#Mukaddimah Penampilan (First Impression)
Penampilan fizikal pada hakikatnya menzahirkan niat dan keazaman yang terpasak di hati, keadaan emosi atau rasa hati di dalam jiwa serta keikhlasan dan integriti diri di lubuk sanubari. Gabungan elemen ini akan terpancar dalam mukaddimah penampilan serta menjadi penentu utama untuk membugar keyakinan diri sendiri serta menambat hati responden yang dihajati. Seterusnya akan menjadi pemangkin pada proses mengendalikan soal selidik secara berkesan.

#Membaca Personaliti Responden
Kemahiran dan kecerdasan menganalisis personaliti responden akan memudahkan kita untuk memilih menu tindakan dan perwatakan yang akan dibawa. Usaha untuk mendapatkan maklumat awal senario semasa dan keadaan persekitaran akan memudahkan lagi proses membaca personaliti responden.

#Pengenalan Diri
Ringkas, komprehensif dan sesuai adalah kata kunci pada pengenalan diri yang tepat dan bekesan. Fungsinya adalah untuk menghapuskan segala persepsi responden yang bersifat negatif dan pada masa yang sama membina rapport (perhubungan yang erat).

Pengenalan diri boleh bersifat mewakili organisasi yang objektif dan neutral, atau mewakili sebuah institusi yang berpengaruh dan berwibawa, atau mewakili wadah yang dominan dalam struktur masyarakat setempat.

#Bahasa
Penggunaan bahasa dan pemilihan kata-kata akan berperanan mengecilkan jurang antara penyelidik dan responden serta menceriakan proses pengendalian soal selidik. Penyelidik perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam risiko dianggap mengejek kerana cuba mengajuk loghat bahasa tertentu.

#Kreativiti
Proses mengendalikan soal selidik akan lebih dinamik jika elemen kreativiti dimanfaatkan secara strategik. Proses soal selidik yang terlalu terikat pada struktur borang bercetak bukan sahaja berisiko merimaskan responden, malah akan menjemukan penyelidik kerana mengulang rutin yang sama berkali-kali.

Contohnya mengendalikan soal selidik berdasarkan isu yang dibawa oleh responden tetapi masih berada dalam skop kajian. Atau mengambil inisiatif menyediakan alat bantu yang boleh memudahkan lagi proses mengendalikan soal selidik.

#Empati
Penyelidik akan berpeluang mendengar seribu satu kisah dan berkongsi pelbagai luahan dan masalah semasa mengendalikan soal selidik. Penyelidik yang terperangkap dengan perasaan simpati dan kasihan akan berisiko hilang fokus dan seterusnya terpesong dari tujuan asal.

Kemahiran berempati akan membolehkan penyelidik menzahirkan bahawa dirinya memahami dan menghayati kisah, luahan dan masalah yang dikemukakan oleh responden.

#Pengurusan Masa
Penyelidik perlu bijak menguruskan masa untuk urusan diri dan masa mengendalikan proses soal selidik supaya perancangan pasukan berjalan lancar. Sifat keterujaan pada teori dan falsafah penyelidikan perlu diimbangi dengan kekangan serta senario semasa yang dihadapi oleh pasukan.

#Batasan Janji
Lumrahnya responden akan meletakkan harapan supaya setiap luahan dan masalah yang dikemukakan ditunjuk jalan keluar atau kaedah penyelesaian. Justeru, penyelidik perlu peka pada skop kajian dan kapasiti organisasi supaya tidak terlanjur mengucapkan janji yang boleh memerangkap diri sendiri.

#Kerja Berpasukan
Setiap unit dalam pasukan menjadi penentu pada tahap kejayaan mencapai matlamat yang disasarkan. Penyelidik perlu berusaha menyempurnakan amanah yang ditugaskan dan bekerja secara berpasukan. Kegagalan menyempurnakan tugas secara berterusan akan menyebabkan penyelidik dianggap sebagai beban pada pasukan.

Setiap penyelidik perlu meletakkan sasaran yang tinggi dan bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian tahap minimum. Prestasi tinggi ini berperanan untuk membantu atau menampung ruang kelemahan yang wujud dalam pasukan.

#Situasi Luar Jangka
Penyelidik perlu bersedia untuk menghadapi keadaan luar jangka semasa mengendalikan soal selidik. Tindakan terbaik adalah berusaha keluar segera dari situasi kritikal dan mengurangkan kemungkinan untuk berkonfrantasi secara langsung bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang lebih mudharat.

#Apresiasi Diri
Penyelidik perlu berusaha memotivasikan diri sendiri untuk mengekalkan momentum dan prestasi dalam jangka masa panjang. Penghargaan terhadap diri sendiri atas pencapaian dan penyempurnaan amanah kerja, boleh dibuat dengan pelbagai cara.

Penyelidik boleh menggubal pelbagai perancangan dan jadual kerja yang komprehensif. Namun penentu hakiki pada natijah yang dihasilkan adalah hak mutlak Allah SWT. Justeru, setiap tindakan yang dilaksanakan perlu diusahakan supaya sentiasa dipenuhi dengan keberkatan. Pada masa yang sama, doa supaya dipermudahkan segala urusan dan disempurnakan segala tugasan perlu sentiasa membasahi bibir supaya subur keyakinan di hati.