25 May 2010

APRESIASI KEMBARA 3 PURNAMA

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga entry ini dihasilkan setelah blog berehat sejak Febuari yang lepas. Perkongsian kali ini adalah sekitar pengalaman berkelana ke seluruh Malaysia lebih dari 3 purnama untuk menyempurnakan tugasan kajian.


AASB
Terima kasih atas kepercayaan yang diberi untuk melaksanakan tugasan ini. Semoga Allah mengampunkan segala kecacatan dan kelemahan kita semua dan segala urusan kita seterusnya akan dipermudahkan penyempurnaannya InsyaAllah...

Rakan Sepasukan
Terima kasih atas kerjasama dan pertolongan serta jutaan kemaafan di atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan yang telah melemahkan fizikal, mengguris emosi, menyerabutkan akal atau menguji rohani. Fen, Abe Jef, Abe Awee, Kak Ita, Kak Ina, syukran jazilan...


Ahli Rombongan
Buat Ahmad, Is, Pian, Ahzam, Napi, Gadap, Art, As, Sila, Nun, Atie, Asmad, Syima, Zie, Fiza, Liza, Cda, Miza & Lin. Ucapan penghargaan dan apresiasi di atas segala jasa dan budi selama menjadi ahli rombongan. Kemaafan juga dipinta atas segala kesalahan dan kesilapan. Semoga segala pengalaman mematangkan kita semua dan menjadi bekalan untuk menempuh hari depan. Wan, Zaza & Mas yang masih berada dalam pasukan, teruskan usaha mencapai matlamat dan sasaran.


Keluarga
Terima kasih Allah kerana memelihara, melindungi dan menaungi keluargaku dari sebarang keburukan serta memudahkan segala urusan kami. Khusus buat Yah, Dina, Aflah & Faiq terima kasih kerana redha, memahami dan menyokong kerjaya ini. Segala pengorbanan ini adalah untuk memastikan rezeki yang halal lagi berkat menjadi milik kita bersama. Tidak lupa juga keluarga di kampung halaman yang terlalu banyak jasa dan budi.

Kia Pregio
Terima kasih kerana selama kita bersahabat karenahmu sangat minimum dan dengan izinNya segala perjalanan serta urusan berjalan dengan lancar. Bertemu dan berpisah kita kerana amanah dan tugasan.

Warga FELDA
Terima kasih kepada Pakcik Peneroka & Makcik Penerokawati atas kesudian berkongsi pengalaman dengan senyum tawa penuh keriangan dan tidak kurang juga dengan titisan air mata penuh kesyahduan... Penghargaan yang sama buat Anak & Menantu Peneroka, Cucu & Cicit Peneroka. Segala perkongsian tersebut menjadi khazanah ilmu yang tidak ternilai. Tidak lupa juga pihak pejabat rancangan yang telah bertungkus-lumus melancarkan segala gerak kerja. Izinkanlah pengalaman ini dikongsikan untuk manfaat bersama.

14 February 2010

KEMAHIRAN MENGENDALIKAN SOAL SELIDIK SECARA BERPASUKAN


Pengendalian soal selidik secara berefikasi (cekap & berkesan) memerlukan gabungan pelbagai ilmu dan kemahiran. Pada masa yang sama perlu dimantapkan dengan khazanah pengalaman yang dimiliki.

Perkongsian kita pada kali ini memfokuskan pada prasyarat-prasyarat utama yang perlu dipenuhi untuk mengendalikan soal selidik secara berpasukan.

#Hadam Soal Selidik
Kemampuan memahami dan menjiwai soal selidik dengan cara menghayati tujuan kajian dan objektif khusus setiap soalan serta natijah akhir yang akan dihasilkan, menjadi petunjuk pada tahap kemahiran seseorang individu mengendalikan soal selidik.

Proses penghadaman soal selidik secara semulajadi akan berlaku seiring dengan perjalanan masa. Penyelidik yang proaktif akan cuba menghadam soal selidik dalam masa yang singkat dengan pelbagai keadah dan cara. Antaranya dengan membuat simulasi, visualisasi atau berkongsi pengalaman dengan individu yang lebih mahir.

#Menu Tindakan
Kepelbagaian ragam manusia, senario semasa, keadaan persekitaran dan pelbagai faktor lagi menjadikan cabaran dan ujian semasa mengendalikan soal selidik berbeza antara setiap responden.

Justeru, persiapan perlu dibuat untuk menyediakan menu tindakan yang sewajarnya. Khazanah menu tindakan ini akan membantu penyelidik menyesuaikan diri semasa berhadapan dengan responden yang memiliki latar belakang berbeza dan pelbagai profil diri.

#Mukaddimah Penampilan (First Impression)
Penampilan fizikal pada hakikatnya menzahirkan niat dan keazaman yang terpasak di hati, keadaan emosi atau rasa hati di dalam jiwa serta keikhlasan dan integriti diri di lubuk sanubari. Gabungan elemen ini akan terpancar dalam mukaddimah penampilan serta menjadi penentu utama untuk membugar keyakinan diri sendiri serta menambat hati responden yang dihajati. Seterusnya akan menjadi pemangkin pada proses mengendalikan soal selidik secara berkesan.

#Membaca Personaliti Responden
Kemahiran dan kecerdasan menganalisis personaliti responden akan memudahkan kita untuk memilih menu tindakan dan perwatakan yang akan dibawa. Usaha untuk mendapatkan maklumat awal senario semasa dan keadaan persekitaran akan memudahkan lagi proses membaca personaliti responden.

#Pengenalan Diri
Ringkas, komprehensif dan sesuai adalah kata kunci pada pengenalan diri yang tepat dan bekesan. Fungsinya adalah untuk menghapuskan segala persepsi responden yang bersifat negatif dan pada masa yang sama membina rapport (perhubungan yang erat).

Pengenalan diri boleh bersifat mewakili organisasi yang objektif dan neutral, atau mewakili sebuah institusi yang berpengaruh dan berwibawa, atau mewakili wadah yang dominan dalam struktur masyarakat setempat.

#Bahasa
Penggunaan bahasa dan pemilihan kata-kata akan berperanan mengecilkan jurang antara penyelidik dan responden serta menceriakan proses pengendalian soal selidik. Penyelidik perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam risiko dianggap mengejek kerana cuba mengajuk loghat bahasa tertentu.

#Kreativiti
Proses mengendalikan soal selidik akan lebih dinamik jika elemen kreativiti dimanfaatkan secara strategik. Proses soal selidik yang terlalu terikat pada struktur borang bercetak bukan sahaja berisiko merimaskan responden, malah akan menjemukan penyelidik kerana mengulang rutin yang sama berkali-kali.

Contohnya mengendalikan soal selidik berdasarkan isu yang dibawa oleh responden tetapi masih berada dalam skop kajian. Atau mengambil inisiatif menyediakan alat bantu yang boleh memudahkan lagi proses mengendalikan soal selidik.

#Empati
Penyelidik akan berpeluang mendengar seribu satu kisah dan berkongsi pelbagai luahan dan masalah semasa mengendalikan soal selidik. Penyelidik yang terperangkap dengan perasaan simpati dan kasihan akan berisiko hilang fokus dan seterusnya terpesong dari tujuan asal.

Kemahiran berempati akan membolehkan penyelidik menzahirkan bahawa dirinya memahami dan menghayati kisah, luahan dan masalah yang dikemukakan oleh responden.

#Pengurusan Masa
Penyelidik perlu bijak menguruskan masa untuk urusan diri dan masa mengendalikan proses soal selidik supaya perancangan pasukan berjalan lancar. Sifat keterujaan pada teori dan falsafah penyelidikan perlu diimbangi dengan kekangan serta senario semasa yang dihadapi oleh pasukan.

#Batasan Janji
Lumrahnya responden akan meletakkan harapan supaya setiap luahan dan masalah yang dikemukakan ditunjuk jalan keluar atau kaedah penyelesaian. Justeru, penyelidik perlu peka pada skop kajian dan kapasiti organisasi supaya tidak terlanjur mengucapkan janji yang boleh memerangkap diri sendiri.

#Kerja Berpasukan
Setiap unit dalam pasukan menjadi penentu pada tahap kejayaan mencapai matlamat yang disasarkan. Penyelidik perlu berusaha menyempurnakan amanah yang ditugaskan dan bekerja secara berpasukan. Kegagalan menyempurnakan tugas secara berterusan akan menyebabkan penyelidik dianggap sebagai beban pada pasukan.

Setiap penyelidik perlu meletakkan sasaran yang tinggi dan bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian tahap minimum. Prestasi tinggi ini berperanan untuk membantu atau menampung ruang kelemahan yang wujud dalam pasukan.

#Situasi Luar Jangka
Penyelidik perlu bersedia untuk menghadapi keadaan luar jangka semasa mengendalikan soal selidik. Tindakan terbaik adalah berusaha keluar segera dari situasi kritikal dan mengurangkan kemungkinan untuk berkonfrantasi secara langsung bagi mengelakkan berlakunya keadaan yang lebih mudharat.

#Apresiasi Diri
Penyelidik perlu berusaha memotivasikan diri sendiri untuk mengekalkan momentum dan prestasi dalam jangka masa panjang. Penghargaan terhadap diri sendiri atas pencapaian dan penyempurnaan amanah kerja, boleh dibuat dengan pelbagai cara.

Penyelidik boleh menggubal pelbagai perancangan dan jadual kerja yang komprehensif. Namun penentu hakiki pada natijah yang dihasilkan adalah hak mutlak Allah SWT. Justeru, setiap tindakan yang dilaksanakan perlu diusahakan supaya sentiasa dipenuhi dengan keberkatan. Pada masa yang sama, doa supaya dipermudahkan segala urusan dan disempurnakan segala tugasan perlu sentiasa membasahi bibir supaya subur keyakinan di hati.


12 November 2009

REENGINEERING: MENGEMUDI DAN MENGURUS PERUBAHAN

Kenapa Organisasi Melakukan Reengineering?
Terdapat beberapa keadaan yang menjadi faktor pendorong untuk sesebuah organisasi melakukan reengineering. Antaranya adalah seperti berikut:
a) Organisasi yang sedang menghadapi masalah yang kronik menyebabkan prestasi merosot
b) Organisasi yang menjangka risiko sesuatu masalah akan muncul tetapi masih belum mengalami apa-apa kesukaran
c) Organisasi yang menerajui pasaran dan meletakkan matlamat untuk mengekalkan konsistensi prestasinya

Apakah Objektif Organisasi Melakukan Reengineering?
Objektif atau tujuan sesebuah organisasi melakukan reengineering bergantung pada situasi dan keadaan organisasi tersebut dan juga matlamat atau sasaran yang mahu dicapai pada masa hadapan. Secara umumnya objektif yang ditetapkan antaranya adalah seperti berikut:
a) Pengurangan kos
b) Meningkatkan keuntungan
c) Memperbaiki perkhidmatan pelanggan
d) Meningkatkan daya saing
e) Daya tindak balas pada pasaran
f) Meningkatkan kepuasan pelanggan
g) Produk yang lebih berkualiti
h) Meningkatkan jualan dan hasil
i) Memperbaiki perkongsian maklumat
j) Memperkukuhkan hubungan dengan vendor

Proses Melakukan Reengineering
Pelbagai pendekatan boleh dipilih untuk melakukan proses reengineering contohnya adalah seperti berikut:
a) Memahami aliran proses sedia ada
b) Mencabar aliran proses sedia ada
c) Menyusun dan mencipta semula proses alternatif
d) Meneliti maklumat yang diperlukan
e) Melakukan ujian kebolehsanaan proses baru yang dicipta

Faktor-Faktor Kejayaan Proses Reengineering
Faktor-faktor yang bersifat kritikal ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya untuk memastikan proses reengineering yang dilakukan mencapai kejayaan. Secara umumnya faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:
a) Komitmen dan sokongan padu daripada pengurusan atasan
b) Matlamat dan visi yang kukuh, jelas, merangsang dan boleh dicapai
c) Mestilah bertujuan meningkatkan prestasi organisasi secara keseluruhan
d) Pemilihan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian
e) Tidak terlalu bergantung pada teknologi atau IT
f) Memanfaatkan sepenuhnya semua sumber yang ada dan tidak hanya bergantung pada sumber dalaman sahaja
g) Memiliki pasukan pelaksana yang efektif
h) Sentiasa mencabar penemuan, rumusan dan cadangan daripada setiap ahli yang terlibat
i) Pengurusan perubahan yang baik

Faktor Yang Berisiko Menghalang Kejayaan Proses Reengineering
Proses melakukan reengineering perlu mengambil kira beberapa faktor yang berisiko menghalang kejayaan proses reengineering. Antaranya adalah seperti berikut:
a) Matlamat yang tidak jelas
b) Kurang komitmen daripada pengurusan tertinggi
c) Pasukan pelaksana yang kurang efektif
d) Sikap terlalu bergantung pada teknologi dan IT
e) Penolakan pada perubahan
f) Sumber-sumber yang terhad


Wassalam: http://izhanhamidi.blogspot.com

11 November 2009

Training Needs Analysis (TNA): Mekanisme Menilai Keperluan Sebenar


Manusia secara teorinya menghadapi kesukaran untuk berada pada tahap keupayaan atau prestasi sebenar jika keperluan asasnya kurang sempurna. Justeru, kemampuan untuk menjana potensi diri yang sebenar lebih tinggi sekiranya bukan sekadar keperluan asas dipenuhi malahan disokong dengan keperluan-keperluan bersifat nilai tambah.

Proses membuat penilaian atau analisis keperluan mempunyai pelbagai mekanisme dan pilihan pendekatan. Pemilihan dan keutamaan pendekatan bergantung pada faktor-faktor yang bersifat setempat. Antara pendekatan tersebut adalah seperti berikut:
a) Ringkas
b) Sistematik
c) Pentadbiran
d) Politik

Tahap Pelaksanaan Training Needs Analysis (TNA)
Demi menghasilkan satu analisis keperluan yang berkesan, langkah-langkah berikut merupakan asas yang boleh dijadikan sebagai panduan:
a) Perancangan
b) Proses analisis
c) Kerja lapangan
d) Hasil kajian dan perakuan
e) Laporan

Data Sebagai Asas Analisis
Data bersifat primer dan sekunder menjadi asas untuk melaksanakan analisis keperluan yang memiliki tahap kesahihan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Proses pengumpulan data boleh dilaksanakan melalui mekanisme berikut:
a) Menyemak dokumen, rekod dan bahan arkib
b) Temuduga
c) Perbincangan kumpulan fokus
d) Pemerhatian
e) Soalselidik

Siapakah Yang Perlu Dianalisis?
Tiga pihak utama yang membentuk kerangka dan sistem sesebuah syarikat perlu dianalisis secara bersepadu. Tahap-tahap analisis tersebut adalah seperti berikut:
a) Organisasi
b) Jabatan
c) Individu

Menyediakan Pelan Latihan Tahunan
Hasil yang diperolehi dari analisis keperluan diterjemahkan dalam bentuk pelan latihan tahunan untuk organisasi. Seterusnya permohonan kewangan atau pembiayaan dikemukakan untuk melancarkan pelaksanaan pelan yang telah dirangka.

Bagaimana Mengenalpasti Latihan Yang Bersesuaian?
Proses penyediaan pelan latihan tahunan menuntut kita untuk mengenalpasti latihan yang bersesuaian. Berikut merupakan beberapa faktor penting yang boleh dijadikan sebagai asas pertimbangan untuk mengenalpasti dan seterusnya memilih latihan yang dapat memenuhi keperluan yang sebenar.
a) Tahap keperluan latihan
b) Kos
c) Masa
d) Sasaran
e) Bahasa
f) Tempat

Jenis-Jenis Program Latihan
Terdapat pelbagai bentuk dan pendekatan latihan yang boleh dipilih,bergantung pada faktor-faktor yang telah dipertimbangkan dalam mengenalpasti latihan. Antaranya adalah seperti yang berikut:
a) Dalaman (In-House)
b) Program Awam (Public)
c) Program Luar Negara (Oversea)

Bagaimana Menilai Keberkesanan Latihan?
Demi memastikan syarikat mendapat pulangan yang sewajarnya dari pelaburan pada program latihan, maka penilaian yang bersifat menyeluruh, praktikal dan kritikal perlu dilaksanakan. Antara perkara utama yang perlu difokuskan dalam penilaian tersebut adalah seperti berikut:
a) Jumlah kos
b) Jumlah sasaran peserta
c) Objektif latihan
d) Proses perniagaan bersifat kritikal
e) Pulangan pelaburan

Tahap Penilaian
Secara umumnya terdapat empat tahap penilaian yang boleh dijadikan sebagai mekanisme mengukur keberkesanan program latihan. Tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:
a) Reaksi / Happy sheet
b) Ujian / Ilmu
c) Keupayaan Aplikasi
d) Pulangan Pelaburan Latihan (Return of Training Invenstment)

Indikator Penilaian
Terdapat pelbagai indikator sama ada bersifat leading indicator atau lagging indicator yang boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam membuat penilaian dalam tempoh pra latihan dan pasca latihan. Indikator-indikator tersebut adalah seperti yang berikut:
a) Production turnover
b) Quality figures
c) Rejects and rework rates
d) Yields trends
e) Staff turnover
f) Number/types of grievances
g) Tracking customer complaints
h) Service response time studies
i) Service recovery figures

Rahsia Kejayaan Latihan
Kejayaan sesebuah latihan bergantung pada pelbagai faktor termasuk persepsi individu yang membuat penilaian. Justeru, penilaian yang bersifat holistik dan objektif perlu dilakukan untuk mengukur kejayaan latihan yang dilaksanakan. Antara faktor-faktor yang perlu dijadikan sebagai pertimbangan adalah seperti berikut:
a) Pelan latihan
b) Fasiliti latihan
c) Rekod latihan
d) Jurulatih
e) Penilaian

Apresiasi
Sekalung apresiasi buat pasukan TNA PSMB di atas perkongsian ilmu dan pengalaman sepanjang kursus Training Needs Analysis Training Programme for Small & Medium Enterprises di Wisma PSMB pada 4-5 November 2009.
# Mr Lim Kah Cheng
# Puan Noorliza Nuruddin
# En. Muhammad Fahame Mohd Idris



30 October 2009

LIMPAHAN ANUGERAH SETELAH SEMUSIM KEMARAU




Allah SWT berfirman dalam surah An-Nasr bermaksud:
1. Apabila datang pertolongan Allah SWT dan kemenangan
2. Dan engkau melihat manusia masuk agama Allah SWT berbondong-bondong
3. Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat (para hambaNya).


Bagaimana menerima limpahan nikmat secara beradab?
Manusia yang menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk sama ada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta dan keterbatasan sumber tenaga serta daya penghasilan, pastinya akan melonjak kegembiraan apabila segala keterbatasan tersebut dapat dipenuhi kembali dengan nikmat dan anugerah kurniaan Allah SWT.

Justeru, surah An-Nasr secara jelas memberi panduan kepada kita adab dan cara-cara menerima limpahan nikmat daripada Allah SWT. Kita diseru supaya bertasbih, bertahmid dan beristighfar.

1. Bertasbih
Subhanallah... Maha Suci Allah.

2. Bertahmid
Alhamdulillah... Segala puji bagi Allah.

3. Beristighfar
Astaghfirullah... Aku bermohon keampunan Allah.

Kenapa bertasbih, bertahmid dan beristighfar?
Kita bertasbih untuk mengukuhkan keyakinan bahawa Yang Maha Memberi Rezeki adalah Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita dari terperangkap dengan rutin setiap hujung bulan akaun kita akan dimasukkan sejumlah gaji sebagai suatu kemestian jika kita sebagai seorang pekerja, atau kelulusan sesuatu proposal atau projek adalah terletak di tangan seseorang individu jika kita sebagai seorang usahawan. Bertasbihlah sentiasa untuk memurnikan kembali keyakinan kita.

Kita bertahmid untuk menyatakan rasa syukur di atas segala limpahan anugerah dan kurniaan Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita terhutang budi pada makhluk atau teruja dengan usaha dan kemampuan diri sendiri. Kesyukuran itu dibuktikan dengan usaha kita secara mujahadah memanfaatkan setiap nikmat tersebut untuk mencari dan mencapai keredhaan Allah SWT. Bertahmidlah sentiasa untuk membugar kembali kesuburan rasa syukur kita.

Kita beristighfar untuk membersihkan diri dari noda-noda dosa dan maksiat kita kepada Allah SWT. Ini bagi mengelakkan kita terperangkap dalam kemurkaan Allah SWT sama ada secara disedari mahupun secara tidak disedari. Keupayaan mengembalikan diri pada keadaan fitrah akan memudahkan kita mendapat suluhan hidayah dan petunjukNya. Beristighfarlah sentiasa untuk menggilap kembali ketulenan sifat-sifat fitrah kita.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk bergembira dengan nikmat kurniaan Allah SWT kerana kegembiraan yang berpada-pada itu berupaya menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk melaksanakan amanah dan menyempurnakan tanggungjawab dengan lebih berefikasi. Namun kegembiraan tersebut mestilah disertai dengan kebijaksanaan supaya kita tidak dipatuk ular yang sama atau jatuh ke dalam lubang yang sama pada masa akan datang.


6 Strategi Sebagai Bekalan Meneruskan Perjuangan
Limpahan anugerah bukan merupakan noktah pada sebuah perjuangan. Sebaliknya merupakan langkah pertama memasuki fasa baru untuk membuktikan bahawa segala tasbih, tahmid dan istighfar bukan sekadar kalimah yang dilafazkan oleh mulut atau diucapkan oleh bibir semata-mata. Inilah masanya untuk menterjemahkan segala kalimah tersebut dalam pencernaan berbentuk aplikasi dan praktikal.

Berwaspadalah dengan segala niat, nazar dan janji yang terungkap atau dimonolog secara peribadi untuk memujuk hati dan menabahkan diri disaat badai ujian melanda kita. Ingatlah bahawa setiap ungkapan yang menyalahi perlakuan akan menjemput kemurkaan Allah SWT.

Justeru, sama-sama kita usahakan supaya ujian dan pengalaman yang tidak ternilai ini menjadi salah satu mekanisme yang akan mengangkat kualiti diri kita dan seterusnya lebih mentaqarrubkan diri kita kepada Allah SWT dengan memahami, menjiwai dan mempraktikkan strategi berikut:

1. ABSORB
Menyerap segala perubahan yang pasti berlaku dalam pelbagai bentuk dan keadaan serta tahap.

2. RISE
Menggerakkan diri untuk bangun semula dan berada dalam realiti baru untuk meneruskan agenda perjuangan.

3. LEARN
Mengambil iktibar dan pengajaran secara holistik dari setiap detik pengalaman yang telah ditempuhi.

4. EMPOWER
Memperkasakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran ke tahap yang lebih tinggi menerusi pelbagai kemudahan yang tersedia malahan peluang yang dicipta.

5. BELIEVE
Meyakini dan percaya secara sepenuhnya kekuasaan dan kebesaran Allah SWT serta pertolonganNya buat hamba-hamba yang sentiasa berusaha dan bertawakkal.

6. PREPARE
Menyediakan diri untuk menempuh pelbagai ujian dan cabaran sebagai tanda kasih dan sayang Allah SWT.

Semoga segala usaha ini dipermudahkan urusan pelaksanaan dan penyempurnaan hasilnya oleh Allah SWT.

Wasiat
Keberkatan dari niat suci sejahtera yang dikasihi insyaAllah akan sentiasa menjadi wasilah pertolongan daripada Allah SWT buat hamba-hambaNya yang beristiqamah dalam memperjuangkan hak dan prinsip meritokrasi.

21 October 2009

Strategising Human Capital Development During Global Economic Crisis



Pembangunan sumber manusia atau pemerkasaan modal insan adalah satu agenda yang perlu diteruskan dalam apa jua keadaan. Justeru, para majikan perlu mengaplikasikan strategi yang tepat untuk meneruskan kesinambungan agenda ini. Berikut dikemukakan beberapa strategi yang boleh dijadikan sebagai salah satu mekanisme menjayakan matlamat tersebut.

Strategi di Puncak Persaingan
· Pemerkasaan empat dimensi manusia iaitu rohani, emosi, akli dan fizikal

Bagaimana Merangsang Budaya Kerja Berprestasi Tinggi?
· Kepemimpinan
· Pengukuran
· Matlamat
· Komunikasi
· Latihan
· Kepercayaan
· Tanggungjawab

Menyemai Nilai Baru Secara Profesional
· Perkongsian
· Strategik
· Jangka Panjang
· Kualiti
· Cabaran
· Orientasi perniagaan
· Fokus Pelanggan
· Proaktif
· Fokus nilai tambah
· Tenaga kerja kreatif

Melabur Dalam Latihan Berbentuk Alternatif
· Tempoh latihan menjadi singkat
· Latihan dalaman menggantikan latihan luaran
· Tanggungjawab latihan berpindah kepada Unit Pengeluaran
· Latihan difokuskan untuk menjana impak maksima pada prestasi syarikat

Pembaziran Yang Perlu Diberi Perhatian
· Terlebih pengeluaran
· Terlebih pemprosesan
· Pemindahan
· Inventori
· Pergerakan
· Penantian
· Pengulangan kerja

Bagaimana Menguruskan Konflik Semasa Kegawatan Ekonomi?
· Menggunakan kuasa
· Menyesuaikan diri
· Mengelakkan diri
· Bertolak ansur
· Menyertai

Profil Budaya Organisasi Pasca Abad 21
· Tempatan ke arah Global
· Pengurusan ke arah Kepemimpinan
· Kelayakan ke arah Tanggungjawab
· Status asal ke arah Membangunkan Perubahan
· Pengkhususan ke arah Integrasi
· IQ ke arah EQ dan AQ
· Keangkuhan ke arah Kemanusiaan
· Kawalan ke arah Pengagihan Kuasa
· Hirarki ke arah Demokrasi
· Kerahsiaan ke arah Amanah
· Individu ke arah Kerja Berpasukan
· Otak Kiri ke arah Seluruh Otak
· Struktur ke arah Sistem
· Dalaman ke arah Luaran

Kunci Utama Mengurus Tenaga Kerja
· Memfokuskan pembangunan modal insan
· Membuat pakatan dengan rakan strategik
· Mengoptimumkan sumber manusia

Keupayaan Untuk Melaksanakan Perubahan
· Teraju Utama
· Budaya menyesuaikan diri
· Komunikasi
· Prihatin dan memahami
· Terbuka menerima maklum balas

Tujuh Langkah Menggapai Puncak Hasrat
· Perubahan kerangka pemikiran
· Pengunggulan mental
· Disiplin
· Keutuhan empat dimensi
· Kesungguhan, kesediaan, integrity, tugasan dan usaha
· Belajar dari kesalahan dan menilai semula pencapaian
· Hargai diri sendiri

Apresiasi
Jutaan apresiasi kepada tokoh-tokoh berikut di atas perkongsian ilmu dan pengalaman semasa persidangan tahunan anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad, PSMB Conference 2009 bertemakan Strategising Human Capital Development During Global Economic Crisis di Sunway Pyramid Convention Centre pada 13 & 14 Oktober 2009.
¤ Dr. Ari Ginanjar Agustian
¤ Mr. Michael A Potter
¤ Datuk Jeffery Ong
¤ Mr. Innaci Dass Maria Francis
¤ Dr. Alex Ow
¤ Mr. Diederick Stoel
¤ Miss Christina Khaw
¤ Mr. Anthony Tan
¤ Prof. Dato’ Dr. Sudin Haron
¤ Mr. Heera Singh
¤ Dr. John P. Keenan
¤ Mr. Muhammad Razif bin Abdul Rahman
¤ Mr. Rubendra Emir Gnanalingam

¤ Datin Paduka Dr. Hajah Syarifah Mazlina

06 October 2009

Pasca Ramadhan: Mengenali Identiti Diri


Ramadhan berlalu lagi... persoalannya adakah perginya Ramadhan pada tahun ini seumpama apa yang berlaku belasan kali malah puluhan kali dalam hidup kita pada tahun-tahun yang lepas? Atau kita bernasib baik kerana Ramadhan pada tahun ini berupaya membekas di dalam diri dan jiwa kita...

Senarai semak yang disyorkan sebagai salah satu usaha bersifat strategik dan sistematik untuk mengenali diri.


SENARAI SEMAK: ERTI HIDUP SEORANG MUKMIN

Bil

Siapa saya ?

Amanah

1

Anak


2

Suami / isteri


3

Ibu / Bapa


4

Abang / adik


5

Pekerja


6

Rakan setugas


7

Ahli jamaah masjid


8

Jiran


9

Ahli komuniti


10

Ahli NGO


11

Hamba


12

Khalifah


Anak

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, (Al-Ahqaf:15)

Suami / isteri

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara mu rasa kasih dan sayang.....(Ar-Rum:21)

Ibu / Bapa

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.....(At-Tahrim : 6)

Ahli Jamaah Masjid

Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah..... (At-Taubah:18)

Masyarakat

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.(An-Nisa’: 36 )

Ahli komuniti

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka buruk (kecurigaan), Kerana sebahagian dari prasangka buruk itu dosa, dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya....... (Al-Hujurat:12)

Ahli NGO

.......dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan, dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya. (Al-Maaidah : 2)

Hamba

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (Adz-Zariyaat:56)

Khalifah

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali-‘Imran :104)


Penutup

Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, Maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri...... (Surah Al-Isra’ : 7)


*izhanhamidi.blogspot.com*